Perjalanan Adam ( Episod 1)

  PA E1

   Waktu subuh yang sejuk dan dingin. Kegelapan masih lagi menutupi bumi Malaysia di sebuah perkampungan kecil dan pedalaman di Lenggong, Perak. Kampung yang subur dengan tanah dan hidupan semula jadi ciptaan Yang Maha Esa. Bilangan penduduk kampung di situ tidak ramai. Bilangan orang-orang tua lebih ramai dari anak-anak muda. Kebanyakan anak-anak muda keluar dari kampung untuk mencari kehidupan yang lebih baik, lebih moden, jauh dari kuno. Tetapi ada juga sebilangan anak-anak muda yang masih lagi tinggal di kampung tersebut. Mereka masih lagi tinggal di situ kerana mahu mengikut jejak langkah keluarga mereka dalam pekerjaan, mewarisi adat warisan turun temurun dari segi bahasa, agama, budi bahasa dan seni mempertahankan diri. Mereka menjaganya dengan baik tanpa diceroboh oleh lautan pemodenan agar tidak lapuk di telan zaman.

   Angin yang sejuk dan dingin itu dapat dirasai oleh seorang anak muda yang sedang mandi dengan badan tergetar-getar. Angin dan air sejuk bergabung menjadi kesejukan yang melampau. Dia menggosok gigi dengan menggunakan kayu sugi, selepas itu dia mengambil wuduk. Setelah selesai mandi, dia kembali ke biliknya untuk memakai baju melayu berwarna putih dengan songkok berwarna hitam. Melihat dirinya di cermin, refleksi dari cermin menggambarkan lelaki itu seorang yang kacak, baik dan hormat kepada kedua ibu bapanya. Lelaki itu tersenyum melihat dirinya yang sudah bersih untuk berjumpa dengan tuhan.

   “Adam, mari. Solat sama-sama.” Seorang lelaki membuka pintu bilik Adam separuh. Wajahnya sudah kelihatan tua sedikit, mungkin dalam lingkungan 60-an. Misainya seperti pelakon Gerak Khas, A. Galak.

   “Baiklah ayah.” Adam mengikut ayahnya ke ruang tamu untuk solat bersama-sama dengan ibunya. Ibunya sudah siap dengan memakai telekung putih. Tiga sejadah sudah disediakan. Keluarga kecil itu solat bersama-sama.

   Matahari sudah mula menunjukkan dirinya, Adam dan keluarganya selepas bersarapan pagi hanya dengan juadah kuih-muih. Semua penuduk kampung di situ bersiap untuk melakukan pekerjaan masing-masing sebagai petani, penoreh getah, penjual, pembuat keris dan lain-lain. Anak-anak kecil dan remaja pula pergi ke sekolah pondok untuk menimba ilmu. Begitu juga dengan ibu dan ayah Adam, mereka juga siap untuk pergi mencari rezeki. Ayah Adam bekerja sebagai penjual sayur di sebuah pasar kecil di kampung itu. Ayahnya menanam sayur-sayuran di belakang rumahnya. Ibu Adam pula hanya sebagai suri rumah. Penduduk di kampung itu mengamalkan tradisi di mana kaum perempuan tidak dibenarkan bekerja atau membuat kerja-kerja lelaki.

   Tujuan tradisi itu dibuat sejak turun-temurun kerana untuk menjaga kehormatan dan kesucian perempuan sebagai wanita asli supaya malam tidak cuba untuk menjadi siang dan siang tidak cuba untuk menjadi malam. Biar malam kekal di tempatnya, biar siang kekal di tempatnya. Kerana kalau malam cuba untuk menjadi siang, mereka takut akan muncul perempuan berpakaian seperti lelaki.

   Adam selalu mengikut ayahnya ke pasar untuk membantu. Pasar itu tidak jauh dari rumah, jadi Adam boleh mengangkut ke semua sayur-sayuran dengan berjalan kaki ke pasar. Tetapi buat ayahnya, putih lebih banyak dari hitam di rambut membuatkan dia tidak larat untuk berjalan kaki. Jadi, dia ke pasar dengan mengayuh basikal. Jualan mereka setiap hari tidaklah banyak, hanya kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Penduduk di kampung itu membeli dengan menggunakan sistem tukaran (barter) sebagai medium untuk membeli dan menjual. Mereka akan menggunakan wang kertas jika mereka keluar dari kampung sahaja. Mereka tahu barang tukaran itu sendiri mempunyai nilai matawang yang bernilai.

   Anak dan ayah berniaga sampai ke petang. Pukul enam mereka berdua balik semula ke rumah kayu. Mereka mendapat beras, daging ayam dan beberapa lagi jenis buah-buahan, hasil dari tukaran barangan tersebut dengan sayur mereka. Ibu Adam menggunakan barangan itu untuk memasak juadah makan malam. Pada pukul tujuh, mereka bertiga mula menjamu selera.

   Kampung itu kurang mendapat perhatian dari orang atasan kerana kampung itu terlalu jauh dari orang luar, namun mereka tetap datang untuk membantu. Hanya tiga benda sahaja mereka memberikan kemudahan di kampung itu. Sistem janakuasa solar untuk membekalkan tenaga elektrik pada waktu malam, sistem telekomunikasi dan sebuah dewan kecil. Setiap rumah di kampung itu mereka telah diberikan satu telefon rumah. Orang atasan itu berkata mereka akan datang lagi untuk berikan bantuan, tetapi mungkin lambat kerana pelbagai kertas persetujuan perlu dilaksanakan.

   “Ayah, adik nak merantau boleh tak, nak cari kerja yang lebih elok.”

   “Buat apa kamu nak merantau luar sana? Tak boleh! Kamu duduk sini, tolong ayah.” Nada tinggi keluar dari bibir ayah Adam.

   “Tapi ayah.”

   “Kamu nak jadi macam abang kamu? Dah lapan tahun dia tak balik. Dah lupa diri agaknya.”

   Adam kembali menyuap makanan ke dalam mulutnya. Dia tidak mahu ayahnya mengingat semula peristiwa abangnya meninggalkan kampung itu kerana tidak suka dengan cara hidup di situ. Kalau ayahnya ingat, pasti dia akan naik marah. Selesai makan malam, mereka bertiga solat maghrib bersama-sama. Pada pukul 8.30 malam, ayah dan Adam berangkat ke masjid untuk solat Isyak berjemaah dengan penduduk kampung.

   Pada pukul 9.30 malam, Adam menghadiri kelas Silat Seni Gayong yang diterajui oleh ayahnya sebagai tok guru di dalam kelas pada malam itu. Kelas silat itu dilakukan di sebuah dewan kecil. Mereka semua memakai pakaian serba hitam dengan tengkolok serta bengkung tali pinggang berwarna hitam atau putih kecuali tiga orang yang memakai bengkung berwarna kuning. Terdapat tiga belas anak murid termasuk Adam. Di antara tiga belas anak murid Silat Gayong itu, Adam, Khairul dan Saiful adalah antara senior di dalam kelas itu. Saiful dan Khairul merupakan kawan baik kepada Adam sejak mereka berumur 8 tahun. Saiful adalah anak kepada pembuat keris yang handal di kampung itu, Amar Mustaqim. Manakala, Khairul ialah anak kepada Farid Kamarudin, seorang petani.

   Pada malam itu, mereka melakukan latihan bersama-sama. Senaman ringan, latihan teknik mengawal penafasan dan spiritual serta latihan satu lawan satu. Ayah Adam melihat setiap anak muridnya melakukan latihan. Setiap langkah-langkah dilihat dengan teliti oleh lelaki bermisai itu. Di sebelah ayah Adam ialah Amar Mustaqim, ayah kepada Saiful.

   “Malam ni mereka semua buat dengan baik malam ni Isa.” Kata Amar kepada Ayah Adam.

   “Ya, kita perlu pelihara mereka semua supaya generasi muda di bawah aku ini boleh menjaga seni warisan bila kita yang dah tua ni tak ada nanti.” Balas Isa.

   “Betul. Isa, aku dengar dari orang kampung, anak kau nak keluar dari kampung ni. Betul ke?” Tanya Amar.

   “Betul, tapi aku tak benarkan. Aku tak nak dia jadi macam abang dia.”

   “Abang dia tu tak nak ikut cara hidup orang kat sini. Silat pun dia tak nak belajar. Tapi Isa, Adam lain. Kau kena bagi dia lihat dunia luar. Alah, kau dengan aku masa muda dulu, suka merantau juga. Bagilah dia peluang.”

   “Hmm, nanti aku fikirkan dulu. Kau bawa keris baru ke?” Tanya Isa.

   “Ni, aku baru buat pagi tadi.” Amar menunjukkan dua bilah keris kepada Isa.

   “Kau bagi kat Adam dan anak kau. Kita bagi mereka berdua cuba keris baru ni.” Ujar Isa.

   Amar memanggil Saiful dan Adam yang sedang sibuk melatih anak-anak murid lain. Amar memberikan dua bilah keris itu kepada mereka berdua. Maka, anak-anak murid Silat Gayong Isa dikumpulkan, dibuatnya satu bulatan besar. Di tengah-tengahnya ialah Adam dan Saiful. Khairul sebagai pengadil. Adam di kanan, Saiful di kiri. Masing-masing membuka langkah silat.

   Apabila pengadil memberikan isyarat tangannya. Maka bermulalah perlawanan di antara Adam dan Saiful. Saiful mulakan serangannya, kerisnya terus menghunus ke arah Adam. Adam berjaya menepis, lalu terus mengunci serangan Saiful dengan menyelit kaki kiri Saiful, lantas dia terus jatuh. Keris Adam berada tepat-tepat di hadapan mata kiri Saiful yang sudah jatuh. Adam memandang tepat ke arah mata ayahnya. Ayahnya hanya terdiam. Pandangan Adam seperti dia tidak merasa puas hati dengan keputusan ayahnya.

   Adam melepaskan tangan Saiful dan kerisnya, lalu terus keluar dari dewan tersebut. Ayahnya hanya mampu melihat Adam berlalu pergi. Isa pun mengarahkan anak muridnya untuk balik ke rumah masing-masing. Kelas silat sudah tamat.

   “Kan aku dah cakap, dia boleh pergi jauh.” Kata Amar dengan senyuman sambil memegang bahu kiri Isa. Isa hanya memandang Amar sahaja. Lampu dewan kecil itu menggunakan sistem janakuasa solar yang telah dikumpulkan sejak pagi tadi telah dipadamkan oleh Isa, begitu juga dengan semua pintu telah dikunci. Isa kembali ke rumah sambil memikirkan tentang Adam. Apabila dia masuk ke bilik Adam, anaknya yang berumur 25 tahun itu sudah pun dibuai mimpi.

   Tapi mimpinya tidak lengkap jika selimut di badannya hanya separuh tertutup. Ayahnya dengan langkah senyap mendekati anaknya dan menutup seluruh badan kecuali bahagian kepala.

   “Ayah bukan tak nak bagi kamu merantau. Ayah takut kamu tak cukup kuat untuk hadapi dunia luar sana.” Katanya sambil mencium dahi Adam. Lalu si bapa pun keluar dari bilik anaknya dengan menutup perlahan pintu bilik.
Keesokan paginya, Adam tidak mengikut ayahnya ke pasar, buat kali pertama. Sebaliknya, Adam pergi berjumpa dengan Saiful dan Khairul di atas rumah pokok yang mereka telah bina bersama-sama sejak zaman kanak-kanak. Adam meluahkan perasaannya kepada dua orang sahabat karib itu sambil menikmati buah-buahan tempatan, pisang, manggis, mangga dan rambutan.

   “Aku nak tengok dunia luar. Aku nak rasa bagaimana hidup luar dari kampung ni.” Kata Adam sambil terbaring melihat dua rakannya menjamu selera.

   “Ayah kau takut, kau jadi macam abang kau nanti. Lapan tahun tak balik. Tak ada dengar khabar pun dari dia. Hilang dalam lubang hitam kot.” Balas Khairul.

   “Aku takkan jadi macam abang aku. Lagipun, aku nak merantau sebab aku ada misi nak dilaksanakan.”

   “Misi apa?” Tanya Saiful sambil membelah buah mangga menjadi dua dengan menggunakan pisaunya.

   “Adalah. Aku tak nak hidup macam katak di bawah tempurung. Kita kena luaskan pandangan, luaskan pengetahuan. Barulah fikiran kita terbuka. Nabi Muhammad pun suka merantau, kalau dia boleh, kenapa tidak kita? Sunnah tu.” Ujar Adam.

   “Keputusan tetap di tangan ayah kau. Kalau kau tak dengar cakap dia. Derhaka berdosa besar.” Balas Khairul.

   “Tau.” Adam, Saiful dan Khairul berbual sampai ke petang. Tetapi mereka berhenti seketika di waktu Zuhur dan Asar. Pukul enam petang, mereka bertiga pun kembali ke rumah masing-masing. Matahari mula merendahkan cahaya siangnya, cahaya malam bulan pula naik untuk menggantikan matahari.

   “Tak apa mak, Adam akan selalu telefon mak dengan ayah.” Lalu ibunya melepaskan genggaman pelukan perlahan-lahan dari anak kesayangannya itu. Seperti melepaskan burung yang telah dijaga sejak kecil, namun terpaksa dilepaskan kerana matang. Adam beralih ke ayahnya pula.

   “Ayah.”

   “Adam.”

   “Ambil ni, gunakan dengan cermat.” Isa memberikan wang poket kepada Adam..

   “Dari mana ayah dapat duit ni?”

   “Ayah ada berniaga juga kat luar.”

   “Terima kasih ayah. Adam akan bawa nama kampung ni dengan silat.”

   “Jaga diri baik-baik kat sana. Cari rezeki halal. Hmm, bila tengok kamu, mengingatkan kepada ayah masa muda.”

   “Heh, bapa borek, anak rintik.” Si ayah juga memeluk si anak pahlawan. Si ayahnya sudah bersedia untuk melepaskan anaknya.

   “Kalau kamu dah buka kelas silat, jangan lupa hantarkan gambar kat kami.” Senyum ayahnya dalam pelukan.

   “Baik ayah.”

   Lalu Adam berjalan, langkah demi langkah jauh dari rumah halamannya. Semakin jauh dia berjalan, semakin kecil pandangan rumah itu, ibu dan ayahnya juga semakin mengecil. Pandangan ke belakang semakin kecil, pandangan ke hadapan pula semakin besar. Pelbagai cabaran menanti anak muda itu. Apabila Adam menunggu di perhentian bas kampung, Pak cik Amar, Khairul dan Saiful datang dengan menaiki basikal untuk berjumpa dengan Adam.

   “ADAM!!!” Saiful menjerit ke arah Adam yang masih lagi sedang menunggu bas. Adam bingkas bangun dengan senyuman melihat mereka bertiga.

   “Pak cik, Sai dan Khai. Kenapa kamu datang nak jumpa aku ni?”

   “Kami datang nak ucapkan semoga berjaya kat luar sana, jangan lupakan kami kat sini.” Kata Saiful sambil mengelap peluh di dahinya.

   “Aku takkan lupakan korang la. Ada masa aku akan balik ke sini.”

   Khairul memberikan Adam beberapa makanan ringan yang di masak sendiri oleh Khairul. “Nah ambil ni, mana tahu kau lapar kat sana nanti.”

   “Terima kasih korang. Korang la sahabat aku dunia dan akhirat.” Adam memeluk mereka berdua. Pak Cik Amar pula mendekati Adam, dia memberikan Adam sesuatu seperti senjata.

   “Ambil karambit ni. Ianya milik ayah Adam, tapi dia suruh pak cik jagakan.”

   “Karambit ayah?”

   “Ya. Ayah kamu banyak buat pertunjukkan silat semasa dia merantau dengan pak cik dulu. Sekarang, giliran kamu pula untuk teruskan legasi dia.”

   “Terima kasih pak cik.” Amar menyerahkan karambit itu kepada Adam.

   “Ingat, kat luar sana kamu akan jumpa macam-macam jenis orang. Kawan jadi lawan, lawan jadi kawan.” Pesan Amar.

   “Saya akan ingat pesanan pak cik.” Bas berhenti di hadapan Adam. Adam menaiki bas tersebut. Dia melambai-lambaikan tangannya ke luar tingkap bas tanda selamat tinggal. Maka, berakhirlah episod Adam di kampung halamannya. Episod Kuala Lumpur baru sahaja bermula bagi Adam. Adam melelapkan mata sementara menunggu destinasinya sampai. Penantian suatu yang menyeksakan.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s