Perjalanan Adam (Episod 2 )

PA E2

Kuala Lumpur

   Adam sampai ke Kuala Lumpur di waktu matahari sedang menegak tepat di atas kepalanya sebaik sahaja dia keluar dari bas. Adam pun memulakan percariannya untuk mencari rumah murah untuk disewa. Ke sana ke mari dia berjalan, banyak jalan dia sudah masuk tetapi tiada satu pun rumah untuk disewa. Di dalam otaknya, banyak yang perlu difikirkan lagi selain rumah seperti kerja, makan dan minum serta impian. Sehingga ke malam dia tidak dapat mencari rumah. Adam terlalu penat, akhirnya dia berhenti di sebuah surau kecil berada di tengah-tengah bangunan kapitalis. Adam solat berjemaah dengan para jemaah yang lain.

   Selesai solat Adam berjumpa dengan imam di surau itu. Dia meminta izin dari imam itu untuk tidur sebentar di surau tersebut, imam itu menerima izinannya. Tetapi imam itu ada cadangan yang lebih baik, dia mengajak Adam ke rumahnya. Maka, Adam pun mengikut imam itu ke rumahnya.

   Semasa dalam perjalanan ke rumah imam itu, dia berbual dengan Adam.

   “Kamu nampak macam bukan dari sini?”

   “Ya imam.”

   “Jangan panggil saya imam. Panggil jer Pak Cik Mokhtar. Nama kamu?”
“Adam. Saya dari kampung kat Perak sana nun.”

   “Oh, apa hajat kamu datang ke bandar besar ni?”

   “Saya nak merantau, cari kerja dan senangkan mak ayah saya.”

   “Moga-moga kamu dapat capai impian kamu. Tapi kamu kena ingat, hati-hati bila pilih kawan, banyak penipu dari yang benar. Pilih kerja yang elok, banyak haram dari yang halal. Kekalkan azam kamu yang sebenar, bantu mak ayah. Jangan jauh lari terpesong dari yang betul. Tapi pak cik tengok, kamu akan berjaya.” Senyum Pak Cik Mokhtar.

   “Terima kasih pak cik. Tapi sekarang saya ada masalah nak cari rumah sewa. Saya kena cari cepat.”

   “Oh…”

   Akhirnya Adam sampai di rumah Pak Cik Mokhtar. Rumahnya kecil dan dia tinggal berseorangan. Sebelum Adam melelapkan mata, Pak Cik Mokhtar ada menghidangkan beberapa keping biskut dan secawan kopi. Selepas itu, Adam tidur di atas sofa di ruang tamu.

   Keesokkan paginya, Adam bersiap untuk meneruskan perjalanannya. Adam berjumpa dengan Pak Cik Mokhtar untuk mengucapkan terima kasih. Tetapi Pak Cik Mokhtar memberikan Adam sekeping kertas kecil.

   “Ni lokasi ke rumah sewa kamu, pak cik dah telefon penyewa rumah tu. Kamu hanya uruskan bayaran jer. Nah kunci.”

   “Apa? Terima kasih pak cik! Terima kasih banyak-banyak!” Adam memeluk Pak Cik Mokhtar.
“Kamu kena ingat apa yang pak cik pesan malam tadi.”

   “Ya pak cik. Saya akan ingat sampai bila-bila. Kalau ada masa, saya akan lawat pak cik nanti.”

    Pak Cik Mokhtar membalas dengan senyuman. Lalu, Adam pun beredar dari rumah Mokhtar dan meneruskan perjalanannya untuk mencari kerja pula. Setelah berjalan di banyak tempat di tengah-tengah kota Kuala Lumpur. Akhirnya Adam mendapat kerja sebagai pelayan di sebuah restoran yang menyediakan makanan Melayu dan Thai. Adam memilih restoran itu kerja gajinya cukup untuk dia makan dan membayar sewa serta restoran itu dekat dengan rumah sewanya.

   Selama enam bulan Adam bekerja di restoran itu. Pelanggan mula mengenali wajah mesra Adam dengan layanan baiknya. Sekali-sekali Adam akan menelefon ayah dan ibunya di rumah, Adam hanya menggunakan telefon di tempat kerjanya sahaja dia tidak ada telefon bimbit.

   Kadang-kadang Adam akan berpuasa untuk menyimpan duit lebih. Adam juga ada melawat surau di mana dia berjumpa dengan Pak Cik Mokhtar, Adam memberikan beberapa helai sejadah atau juadah makanan untuk disedekahkan kepada surau tersebut sebulan sekali. Dalam enam bulan itu, Adam berkenalan dengan seorang lelaki yang juga bekerja sebagai pelayan di restoran sama. Namanya Bakar, dia juga sama seperti Adam, dari luar juga tetapi dia sudah merantau lebih lama sejak lima tahun dahulu. Dia tak banyak bercakap tetapi kerja tetap jalan.

   Lima tahun sudah berlalu, Adam hampir berjaya untuk mengumpul duit dan menyewa satu tingkat di sebuah bangunan juga tidak jauh dari rumahnya untuk membuka kelas Silat. Sedang Adam mengambil pinggan dan cawan di atas meja yang telah ditinggalkan oleh pelanggan. Tiba-tiba terdengar satu jeritan suara perempuan berdekatan dengan restoran itu.

   “Tolong!!! Dia ragut saya!!!” Jari telunjuk perempuan menunjukkan peragut itu bergerak ke kiri Adam. Adam dengan pantas berlari mengejar peragut itu. Sehingga mereka berdua sampai di satu lorong sunyi, peragut itu bertindak dengan melawan Adam. Adam membalas dengan beberapa tumbukan, peragut itu rebah di atas jalan. Namun dia bangkit semula dan menyerang sekali lagi ke arah Adam, kali ini dengan pisau lipat pula.

   Peragut itu menyerang Adam berkali-kali dengan menggunakan pisau lipatnya. Adam berjaya mengelak setiap serangan peragut tersebut. Adam mencari peluang dan masa yang sesuai untuk membalas semula serangan peragut itu. Akhirnya Adam dapat mengunci tangan peragut dengan mengepak lalu menjatuhkan pisau lipat. Adam melakukan lagi serangan menendang peragut itu sehingga rebah. Peragut tidak mempu untuk membalas lalu melarikan diri dan meninggalkan beg tangan perempuan yang telah diragut olehnya.

   Adam mengambil beg tangan itu dan apablia dia berpaling ke arah jalan menghalang pulang. Bakar melihat aksi Adam dari jauh.

   “Bakar? Apa kau buat kat sini?” Tanya Adam.

   “Aku ingat nak tolong kau, tapi kau dah settlekan dulu.”

   “Apa yang penting sekarang, kita dah dapat beg puan ni. Baik kita serah kat dia cepat.”

   Sedang mereka berdua berjalan menuju balik ke restoran. Bakar bertanyakan satu soalan kepada Adam.

   “Adam, kau nak kerja untuk duit lebih tak?”

   “Duit lebih? Boleh. Aku pun sekarang kena pakai duit banyak.”

   “Jumpa aku kat restoran pukul sembilan karang.”

   Apabila mereka sampai di restoran, wanita yang telah diragut tadi sedang duduk di kerusi restoran dengan raut wajah yang risau. Adam memulangkan beg tangan kepada wanita tersebut. Wajah wanita itu kembali tersenyum dan gembira. Wanita itu memberikan wang kepada Adam, tetapi Adam menolak.

   “Adik tak nak duit ni. Hmm, tak apalah. Apa-apa pun terima kasih banyak-banyak adik. Kalau adik tak ada tadi dah lama beg akak kena lesap.” Wanita itu hendak bersalam dengan Adam, tetapi Adam membalas dengan meletakkan tangan kanannya di bahu kiri dan menundukkan badannya sedikit sebagai tanda hormat salam kepada wanita yang berumur dalam lingkungan 40-an.

   “Maaf puan, bukan muhrim.” Wanita itu mengundurkan tangannya perlahan-lahan dengan wajah sedikit malu. Selepas wanita itu beredar dari restoran, Adam dan Bakar kembali melakukan tugas masing-masing. Adam dan Bakar bekerja sehingga pukul tiga petang. Itu sedikit sebanyak memberikan masa berehat kepada mereka berdua.

Pukul 9.00 malam…

   Adam berjumpa Bakar di restoran pada waktu malam. Restoran tempat mereka bekerja masih lagi dibuka sehingga pukul sepuluh malam. Adam mengikut Bakar menuju ke satu bangunan apartmen yang sudah lama usang dan ditinggalkan. Apabila mereka berdua masuk, Adam melihat ramai orang bersorak-sorak dalam satu bulatan besar seperti mereka sedang menonton satu perlawanan yang mengasyikkan.

   Adam mengikut Bakar bergerak ke hadapan sambil dihimpit oleh lautan manusia. Dua orang sedang berlawan sehingga berdarah di seluruh badan. Itu yang Adam nampak. Seorang lelaki tumbang dan tewas dari perlawanan itu. Pengadil mengangkat tangan kanan pemain tanda kemenangan kepada lelaki itu.

   “Ada sesiapa lagi nak mencabar Encik Doreno?” Tanya pengadil di hadapan khalayak penonton.

   Dalam bingitan suara dari pelbagai sudut dan arah itu. Seorang lelaki menjawab ‘saya’ dengan penuh yakin kepada pengadil. Lelaki itu tidak lain tidak bukan ialah Bakar. Bakar tampil di atas pentas perlawanan, dia membuka jaketnya, menampakkan otot-otot kecilnya. Saiz badan Bakar hampir sama dengan Adam yang sedang melihat Bakar dari bawah. Manakala lawannya, Encik Doreno bersaiz besar dengan otot-otot dua kali ganda lebih besar seperti badan kebanyakkan orang eropah.

   Bakar dan Doreno bersiap sedia dengan posisi melawan masing-masing. Pengadil berada di tengah dengan tangan kanan di atas udara. “Mula!” Pengadil menjatuhkan tangannya ke bawah tanda mula.

   Tiba-tiba, sesuatu yang pelik berlaku. Sepantas kilat Bakar mulakan gerakannya dengan mara ke arah Doreno dan menumbuk berkali-kali sehingga lawannya tiada peluang untuk membalas. Bakar bergerak ke belakang Doreno dan mematahkan kaki kiri dan kanan. Bakar menyerang di bahagian-bahagian lemah sehingga wajah bengis Doreno bertukar tragis. Doreno terus tumbang.

   “Silat harimau?” Adam berkata di dalam hatinya sedang dia melihat aksi Bakar.

   Perlawanan itu tidak sampai satu minit, kemenangan berpihak kepada Bakar. Badan gergasi Doreno diheret oleh pengawal-pengawal yang sedang bertugas. Bakar turun dari pentas dengan senyuman di wajahnya. Penonton bersorak gembira, Bakar bergerak ke sebuah kaunter. Di kaunter itu, pekerja yang bertugas memberikan sejumlah wang yang banyak kepada Bakar. Adam mendekati Bakar.

   “Ha Adam, pergilah naik atas pentas tu. Kau boleh lawan kan?”

   “Aku tak nak.”

   “Hei, duit ni! Masyuk!” Bakar menunjukkan wang ke arah muka Adam.

   “Dengan belasah orang sampai keluar darah!? Aku tak nak salah guna kemahiran aku. Aku nak cari rezeki halal, bukan dengan cara ni.”

   “Kalau kau tak nak. Ok. Kau hiduplah dalam dunia miskin kau. Aku nak bantu kau. Kau ingat kau boleh hidup kat bandar ni dengan gaji yang kau ada sekarang? ”

   “Aku lebih rela dapat gaji sikit daripada aku kotorkan tangan untuk dapat duit banyak. Kau tak membantu aku langsung Bakar.” Kerana terlalu geram dengan sifat sebenar Bakar, Adam terus keluar dari tempat hina itu. Dia sangat kecewa dengan Bakar, orang yang dia kenali dulu sebagai seorang yang pendiam dan baik hati di hadapan semua orang sebenarnya ialah seorang yang tamakkan wang.

   Keesokkan harinya, Bakar tidak hadir ke tempat kerja. Adam tidak hiraukan langsung tentang dia. Adam hanya fokus kepada pekerjaannya sehinggalah masa bekerjanya tamat. Adam meminta izin dari bosnya untuk balik awal kerana dia perlu berjumpa dengan penjual bangunan di tempat Adam akan membuka kelas Silat. Bos Adam membenarkan dengan senyuman.

   Adam sampai di hadapan bangunan tersebut, tetapi Adam melihat sekumpulan lelaki dengan membawa senjata tajam.

   “Abang!?” Adam melihat wajah salah seorang lelaki dalam kalangan kumpulan itu.

   Lelaki itu menoleh ke arah lelaki kurus berbaju t-shirt dan berseluar jeans. Lelaki itu tersenyum dengan batang rokok masih lagi berada di mulutnya.

   “Adam? Kau rupanya pembeli tu. Aku tak benarkan kau beli bangunan ni. Bangunan ni milik aku.”

   “Abang dah lama tak balik rumah. Ayah dan mak rindukan abang.” Pujuk Adam.

   “Biar aku teka… Ayah benarkan kau merantau dengan syarat kau kena bukak kelas Silat kan?”

   “Macam mana abang tahu?”

   “Ayah dah lakukan perkara tu kat abang dulu… Lima tahun lepas. Lepas tu abang sedar, abang takkan dapat cari makan dengan mengajar Silat. Lagipun orang sekarang tak nak belajar Silat, mereka pandang sebelah mata jer.”

   “Jadi dengan masuk gangster boleh selesaikan segala-galanya?” Tanya Adam.

   “Ya! Abang boleh hidup dekat bandar KL ni dengan kerja ni.” Jawab abangnya dengan penuh bangga.

   “Abang dah lupakan kampung abang. Abang dah tinggalkan tradisi kita.”

   “Pergi mampus dengan tradisi tu! Kampung tu hidup dalam kuno dan takkan maju, asyik mengharapkan bantuan orang lain. Abang tak nak jejakkan kaki ke sana lagi.”

   “Abang tak boleh halang Adam. Adam akan beli jugak bangunan ni.”

   “Dah terlambat, kawan-kawan baru jer bunuh penjual bangunan ni.”

   “Tak guna abang!!!” Adam melulu ke arah abangnya untuk melakukan serangan. Tetapi dalam sekelip mata, abangnya dapat menghalang serangan adiknya dan membalas dengan satu pukulan tepat di perut Adam. Adam jatuh dengan hentakan kuat ke tanah.

   “Silat kau masih lemah, kau bukan lawan abang.”

   Tiba-tiba abangnya memberikan isyarat kepada rakan-rakannya, membenarkan mereka membelasah adiknya sendiri. Mereka semua berlari ke arah Adam dengan senjata masing-masing. Adam bingkas bangun dan membalas setiap serangan yang dilakukan oleh orang-orang abangnya.

   Adam sekali lagi dikalahkan, luka dan lebam di badannya mula timbul. Kepedihan dan kesakitan dapat dirasai oleh dia. Kedua belah tangan Adam tiba-tiba sahaja dipegang oleh dua orang rakan abangnya. Abangnya mendekati adiknya yang lemah.

   “Aku dapat tahu pasal info ni dari kawan baik kau, Bakar. Jadi, lagi sekali kau cuba nak jejakkan kaki ke bangunan ni, kau mati. Faham!?”

    “Mana sifat manusia abang?”

   “Aku cakap faham ke tak!?” Abangnya melepaskan satu tumbukan ke perut adiknya.

   “Fa…Faham.” Adam dilepaskan dari genggaman dan ditinggalkan di situ sendirian. Rebah dalam kesakitan. Sedang abangnya berlalu pergi, jauh dan lebih jauh, pandangan Adam mula menggecil. Kesakitannya mula menaik.

   Siang bergantikan malam, matahari panas turun, bulan sejuk naik pula. Tapi darah panas anak muda bernama Adam mula membuak-buak naik seperti bom masa bakal meletup. Adam berlari ke rumah Bakar dan menyerbu masuk ke dalam. Bakar berada di ruang tamu.

   Adam dan Bakar mula berlawan. Tumbukan demi tumbukan Adam melepaskan ke arah Bakar dengan penuh rasa geram. Skil Silat Harimau dari Bakar tidak mampu menandingi kemarahan gergasi Adam. Adam mengunci setiap serangan yang dilakukan oleh Bakar. Apabila Bakar cedera teruk, dia mengangkat kedua belah tangannya tanda mengaku kalah.

   “Kau hancurkan impian aku! Kau hancurkan impian ayah aku!!!”

   “Sabar, sabar Adam. Kau tengok gambar kat telefon aku.”

   Seorang lelaki tua diikat tangan dan kakinya serta mulutnya ditutup dengan pita pelekat. “Pak Cik Mokhtar!!! Celaka kau!!!” Adam menghentak badan Bakar ke dinding.

   “Kalau kau nak pak cik tu selamat. Masuk perlawanan tu. Esok malam. Menang untuk aku.” Ujar Bakar. Adam tidak ada pilihan selain mengikut kata-kata dia. Adam melepaskan Bakar.

   “Kau janji akan lepaskan pak cik aku?”

   “Aku janji. Jangan risau. Kau hanya perlu menang perlawanan tu. Kalau kau hubungi polis, dia habis.”

   Adam keluar dari rumah Bakar dan kembali ke rumahnya dalam keadaan hati yang tidak tenang. “Jahanam kau Bakar. Kau dah ekori setiap langkah aku. Sebab duit kau sanggup culik pak cik.”

   Adam cuba untuk membaringkan dirinya di atas katil, tetapi matanya tidak duduk diam. Dari tadi asyik melihat ke kiri, kanan, atas dan bawah. Otak Adam masih berjalan, memikirkan lawannya yang terdiri dari pelbagai negara, bangsa dan saiz. Namun, lama-kelamaan Adam dapat melelapkan matanya.

   Keesokan paginya, sebelum api mula marak pada waktu malam. Adam singgah sebentar di pejabat bank untuk memasukkan duit gajinya. Selesai sahaja Adam kembali semula ke rumahnya dan mula berlatih untuk memperkuatkan skil silatnya. Persediaan sebelum perlawanan.

   Telefon bimbit Adam berdering. Adam menekan butang hijau di telefonnya.
“Assalamualaikum Adam, ini mak.”

   “Mak, kenapa tiba-tiba telefon ni?”

   “Aik kamu ni? Nak tanya khabar la. Dah berapa bulan kamu tak telefon mak. Mak risau. Kamu macam mana kat sana, ok?”

   “Ok mak, Adam baik-baik jer. Kerja Adam pun bagus. Ayah dan mak macam mana, sihat?”

   “Sihat. Jangan bimbang pasal kami berdua. Adam tu kena jaga diri baik-baik. Jaga kesihatan.”

   “Mak… Adam jumpa abang.”

   “A, Abang kamu? Dia buat apa sekarang?”

   “Dia… Dia ada kerja yang bagus. Mak, Adam akan bawa abang balik kampung sekali esok.”

   “Bawa abang balik nak. Mak dengan ayah rindukan dia sangat.”

   “Baiklah mak, Adam ada kerja ni. Nanti Adam telefon mak. Assalamualaikum.”

   “Waalaikumussalam.”

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s