Pen, Pensil dan Buku Nota

Pencils on a blank notebook

Pada waktu petang yang cerah, burung-burung terbang bebas tanpa perlu memikirkan masalah di sekelilingnya. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa bertemu dengan manusia untuk menyejukkan suhu di tubuh badan mereka. Manusia itu dapat merasa kesejukkan dari tiupan angin lembut itu yang telah dihantarkan oleh-Nya kepada umat yang masih mengingati-Nya.

Dan manusia itu adalah seorang lelaki tua yang berusia dalam lingkungan 80 tahun. Bertongkat, berkaca mata, berbaju kemeja, berseluar slack, memakai kasut dengan reka bentuk seperti pada tahun 1980. Wajah lelaki itu sudah nampak kelihatan kedutan-kedutan layu bak daun-daun di ranting-ranting pokok yang berwarna pudar, menunggu masa untuk jatuh ke bawah dan ditenggelamkan ke dalam tanah dan berjumpa dengan-Nya.

Lelaki tua itu sedang berjalan perlahan-lahan dengan tongkat berkaki empatnya untuk menuju ke taman permainan yang tidak jauh dari rumahnya. Lelaki tua itu berjalan sambil menikmati pemandangan matahari yang indah di waktu petang dengan kanak-kanak sedang bermain dengan penuh gembira dan riang di taman permainan. Apabila lelaki tua itu berada di taman permainan, dia mencari kerusi kayu yang berdekatan dengannya. Dia duduk sambil menyandarkan badannya ke tempat penyandar kerusi, dia menarik nafas udara segar dengan lega.

Lelaki tua itu sekali lagi memandang ke arah kanak-kanak yang sedang bermain-main di taman permainan. Budak lelaki menaiki buaian setinggi awan. Lima orang budak bermain gelongsor secara bergilir-gilir. Dua budak lelaki bergayut di Monkey Bar, budak perempuan juga tidak mahu ketinggalan, tidak mahu kalah untuk mencuba bergayut di palang-palang besi tersebut. Dan tidak lupa juga kepada kanak-kanak yang sedang bermain jongkang-jongkit dan tangga berpalang.

Tapi lama-kelamaan senyuman dari lelaki tua itu tiba-tiba sahaja bertukar muram seperti sungai air tawar. Ibu jari dan jari telunjuk di tangan kanannya perlahan-lahan menyentuh bingkai cermin matanya lalu dikeluarkan dari pandangan matanya yang sebenar. Anak matanya berkedip berkali-kali, wajahnya kelihatan lebih muram lagi. Dari pandangan matanya, dia seperti berada di dunia lain. Tadi berwarna, kini hitam putih. Keadaan di sekelilingnya semuanya berwarna hitam dan putih. Burung-burung yang terbang tadi kini sudah tiada. Awan mendung mula kelihatan. Matahari sudah hilang dari pandangannya.

Kanak-kanak yang sedang bermain dengan penuh riang tadi tiba-tiba bertukar senyap seperti tiada satu suara pun yang keluar dari buah bibir setiap anak-anak kecil itu. Apa yang kanak-kanak di taman permainan itu lakukan hanyalah duduk diam, tidak bertegur sapa, kepala masing-masing memandang ke bawah. Khusyuk melihat ke sebuah alat gajet yang dipanggil sebagai tablet.

Lelaki tua itu masih bermuram, namun, untuk mengembirakan hatinya. Dia perlahan-lahan mengeluarkan sebatang pensil dan pen dan satu buku nota bersaiz kecil dari poket seluarnya. Di dalam buku notanya, terdapat banyak catatan tentang dirinya di masa lampau. Dan juga terdapat banyak cerita pendek yang dikarang sendiri olehnya. Jadi buku nota lelaki tua itu mempunyai dua dalam satu kandungan. Diari dan cerpen.

Dia mula membelek helaian muka surat di buku notanya untuk mencari satu helaian kosong supaya dia boleh menulis apa yang dia lihat pada hari ini. Satu helaian kosong sudah jumpa, lelaki tua itu pun mula menulis dengan menggunakan pen dan dalam masa yang sama dia juga menggunakan pensil untuk membuat lakaran di atas kertas buku notanya yang mana kulit buku tersebut berwarna putih.

Sedang lelaki tua itu khusyuk menulis tanpa menghiraukan keadaan di sekelilingnya. Sehingga beberapa minit kemudian, seorang budak perempuan menghampiri lelaki tua.

“Pak cik buat apa tu?” Tanya budak perempuan yang berumur dalam lingkungan sepuluh tahun itu.

“Pak cik tengah menulis ni.” Balas lelaki tua itu sambil matanya memandang ke arah wajah budak perempuan yang masih tersenyum manis.

“Tapi pak cik pakai apa untuk menulis tu. Saya tak pernah nampak pun.” Jawab budak perempuan dengan wajah keliru.

“Kesian kamu. Zaman pak cik dulu, semua orang tulis pakai alat yang pak cik guna ni.”

“Alat apa yang pak cik guna tu?” Tanya budak perempuan itu sambil matanya memandang ke arah pen dan buku nota milik lelaki tua itu.

“Ini dipanggil pen dan lagi satu pensil. Yang tebal ni dipanggil buku nota. Dalam buku ni lah pak cik selalu tulis kisah-kisah hidup pak cik.”

“Macam susah jer nak guna. Macam berat jer nak bawa buku tebal tu. Baik saya bawa tablet saya, ringan. Untuk menulis pun senang, pakai jari jer.”

“Tapi ‘rasa’ tulis pakai pen dengan tulis pakai jari lain tau adik.”

“Lain macam mana tu pak cik?”

“Pakai pen, adik akan dapat ‘pegang’ tulisan adik kat kertas buku. Dan lagi satu, bila dakwat biru ni keluar dari pen, pak cik dapat rasakan satu ’kepuasan’ yang pak cik tak pernah gambarkan.” Lelaki tua itu menunjukkan kepada budak perempuan itu tentang kepuasan menggunakan pen dengan menulis satu perkataan di buku notanya.

“Wow! Hebatnya! Boleh saya cuba?” Kelihatan wajah budak perempuan sangat teruja untuk mencuba pen dan menulis di atas buku nota milik lelaki tua itu.

“Boleh. Tapi sebelum tu. Boleh pak cik ceritakan tentang kisah hidup pak cik?”

“Wah! Cerita! Saya suka! Saya suka!”

“Mari, duduk kat sebelah pak cik.” Lalu budak perempuan itu pun duduk bersama di sebelah lelaki tua tersebut. Matanya sudah mula tertumpu ke arah wajah lelaki tua. Keterujaan dan rasa tidak sabar untuk mendengar cerita yang akan keluar dari buah bibir lelaki tua itu.

“Ok, pak cik mulakan masa pak cik umur sebaya macam kamu. Masa hari jadi pak cik yang ke sepuluh. Arwah ayah pak cik bagi hadiah kepada pak cik dua batang pen dan pensil. Arwah mak pak cik pula hadiahkan buku nota yang sampai sekarang pak cik gunakan.”

“Lamanya pak cik guna. Macam mana boleh bertahan sampai sekarang?”

“Panjang ceritanya tapi biar pak cik ceritakan.”

“Boleh dikatakan pak cik memang seronok dengan pemberian hadiah dari mak dan ayah pak cik. Pak cik dari kecil memang minat menulis, tulis cerita, karangan, pantun, sajak, semua pak cik tulis dalam buku nota ni. Setiap hari tangan pak cik memang gatal nak tulis cerita baru. Masa sekolah rendah dulu, pak cik memang dapat keputusan cemerlang dalam subjek Bahasa Malaysia.”

“Oooo. Mana pak cik dapat idea-idea tu?”

“Pak cik lihat apa yang pak cik nampak di sekeliling. Pak cik pun mula menulis.”

“Macam susah jer.”

“Tak adik, senang jer. Cerita ni boleh jadi tentang apa saja, pengalaman, fiksyen dan macam-macam lagi. Contoh, hari ni adik main kat taman permainan, ceritakan balik apa yang adik main dalam bentuk tulisan. Kalau adik nak cipta dunia khayalan adik sendiri pun boleh.”

“Boleh!?”

“Boleh. Semuanya bergantung kepada imaginasi adik. Berbalik kepada cerita pak cik tadi. Pak cik gunakan pen, pensil dan buku nota tu dari sekolah rendah sampailah ke sekolah menengah. Kalau dakwat pen habis, pak cik beli kat kedai. Kalau helaian muka surat kat buku nota pak cik habis, pak cik akan tambah sendiri kertas-kertasnya.” Ujar lelaki tua itu. Budak perempuan itu menajamkan telinganya untuk mendengar cerita.

“Pak cik dapat masuk universiti, walaupun dah banyak alat tulis pak cik beli, pak cik tetap gunakan pen dan pensil ni. Pak cik ambil kursus pengurusan pejabat kat universiti masa tu. Yuran pengajian pak cik bayar sendiri, jadi pak cik hantar hasil karya pak cik kat syarikat-syarikat penerbitan, sambil tu pak cik kerja sambilan kat restoran.”

“Pak cik memang seorang yang rajin.” Puji budak perempuan itu.

“Biasalah adik, pak cik ni bukan orang senang. Nak dapat sebuah buku masa dulu pun dah susah. Jadi pak cik pun berjaya tamatkan pengajian kat universiti tu. Seminggu selepas majlis graduasi, pak cik mula cari kerja kat merata tempat.”

“Pak cik dapat kerja yang pak cik nakkan?”

“Malangnya tak adik, dengan ekonomi masa tu makin teruk, susah nak dapat kerja dalam bidang pak cik. Semua syarikat nakkan pengalaman kerja tiga hingga lima tahun dalam bidang berkaitan. Pak cik baru keluar dari universiti masa tu, kenapalah mereka tak bagi peluang kepada pak cik untuk buktikan kepada mereka apa kemampuan yang pak cik boleh buat. Tapi itu cerita dulu.”

“Kesian pak cik.” Kata budak perempuan itu dengan nada sedih.

“Biasalah adik, nak hidup kena tempuh susah dulu baru dapat senang. Tapi tuhan tak pernah lupakan pak cik, setiap hari pak cik berdoa sebab pak cik yakin rezeki tu ada di mana-mana. Masa tu pak cik tak kisah dah, pak cik terima apa saja jenis kerja, asalkan benar.”

“Dan akhirnya pak cik dapat kerja.”

“Ya! Pak cik dapat kerja kilang kat syarikat pembuatan pen yang kebetulan jenama sama yang pak cik masih guna. Selama sepuluh tahun pak cik kerja di situ, akhirnya barulah pak cik dapat naik pangkat. Tapi tak lama.”

“Kenapa?”

“Teknologi makin canggih masa tu. Telefon pintar, tablet dan macam-macam lagi dicipta pada masa tu. Sampaikan orang dah kurang beli majalah, buku komik, surat khabar, novel, semua yang bersifat fizikal orang dah kurang guna. Semuanya baca kat telefon pintar. Alam maya.” Ujar lelaki tua itu sambil memegang pennya.

“Lebih malang, syarikat yang pak cik kerja tu dah mula bankrap. Bukan syarikat tu saja, syarikat yang keluarkan alat tulis yang lain pun turut terkena tempias, gulung tikar. Sebab masa tu orang semua menulis kat alat gajet-gajet kecil tu. Sekolah-sekolah pun dah tak guna buku tulis, segala jenis urusan guna tablet. Akhirnya pak cik dan pekerja-pekerja lain terpaksa meninggalkan syarikat yang dah mati tu. Tapi pak cik tak pergi dengan tangan kosong, sebelum pak cik keluar, pak cik ambil tiga bakul batang dakwat pen supaya pak cik boleh terus gunakan pen pemberian arwah ayah pak cik.” Sambung lelaki tua itu.

“Pak cik tak seronok ke dengan teknologi yang kita guna sekarang?” Tanya budak perempuan itu.

“Pak cik hargai. Tapi pak cik rasakan teknologi gajet tu sedikit sebanyak memakan diri kita. Kita dah jadi pentingkan diri sendiri, tak hiraukan keadaan sekeliling, semua dengan hal masing-masing. Contoh yang paling dekat, kamu tengok kat depan kamu tu. Semua pandang ke bawah, tak main pun alat permainan yang disediakan. Kalau zaman pak cik dulu, jumpa jer taman permainan, memang riuh suara kami, main gasing, main layang-layang. Agaknya budak-budak sekarang tak tahu apa itu gasing.” Ujarnya.

“Wah! Bestnya zaman pak cik! Saya tadi rasa bosan sangat main buaian sendiri jer, tak ada kawan, yang lain semua sibuk main game. Sebab tu bila saya nampak pak cik pegang alat ni, saya pergi dekat pak cik sebab saya nak tahu.”

“Kesian kamu. Gajet-gajet ni tak salah kalau nak guna, yang salah cara kita menggunakannya yang terlebih had. Kita kena tahu batasan, jangan sampai hilang sifat kemanusiaan kita. Apa saja yang kita lakukan dalam dunia ni ada batasannya. Tak boleh kurang, tak boleh lebih, kena seimbang.”

“Saya… Tak faham pak cik tentang seimbang tu.”

“Tak mengapa, kamu kecil lagi sekarang. Bila kamu dah besar nanti kamu akan faham. Buat masa sekarang kamu berseronoklah dengan zaman kanak-kanak kamu sebab nanti bila dah besar dah tak boleh ulang balik masa lalu.”

“Baiklah pak cik.”

“Mungkin ini bukan zaman pak cik, ni zaman kamu adik. Zaman pen, pensil dan buku dah berakhir. Sekarang zaman ‘sentuhan jari di skrin pintar’. Pak cik tak boleh nak halang kemajuan evolusi manusia. Manusia perlu terus mara untuk maju. Tapi, adakah kemajuan tu akan membuatkan kita lebih bertamadun?”

“Pak cik, sambunglah cerita tadi.”

“Apa? Uhuk! Uhuk! Pak cik rasa tak larat la. Sambung esok boleh?” Jawab lelaki tua itu sambil terbatuk-batuk.

“Ala, pak cik, sambung la.” Rayu budak perempuan itu.

“Macam ni. Pak cik baru teringat tadi yang pak cik kena ajar kamu macam mana nak gunakan pen ni. Cerita tu pak cik sambung esok, boleh?”

“Boleh, boleh.”

“Ok, kamu pegang pen ni macam ni. Lepas tu cuba tulis atas buku nota ni.”

Maka, lelaki tua itu pun mengajarkan kepada budak perempuan itu bagaimana cara menggunakan pen dan pensil. Budak perempuan itu begitu teruja apabila kali pertama dia memegang dan menulis dengan menggunakan sebatang pen dan pensil yang mana dia tidak pernah lihat sebelum ini. Sehingga pukul enam, barulah budak perempuan itu berhenti menulis. “Bagus. Kamu dah boleh bina sebuah cerita. Kamu memang cepat belajar macam kamu dah selesa pegang pen tu.” Puji lelaki tua itu.

“Hehe. Terima kasih pak cik.”

“Pak cik rasa kamu patut balik rumah sekarang, nanti mak ayah kamu risau pula.”

“Kalau macam tu saya pergi dulu.”

“Eh tapi sebelum kamu pergi. Buka dua tapak tangan kamu.”

“Pak cik nak buat apa?” Budak perempuan itu membuka dua tapak tangannya di hadapan lelaki tua tersebut.

“Pak cik nak bagi kamu ni.” Lelaki tua itu memberikan pen, pensil dan buku nota miliknya kepada budak perempuan itu.

“Tapi, ni pak cik punya. Saya tak boleh terima.”

“Kamu ambil. Kamu dah bersedia untuk gunakannya. Kamu sambunglah kisah hidup kamu dalam buku nota ni. Ciptalah fantasi kamu, reka cerita kamu. Lagipun kisah hidup pak cik dah sampai penghujungnya.”

“Pak cik ok ke?”

“Pak cik tak apa-apa. Uhuk! Kamu pergilah.”

“Terima kasih pak cik.” Maka budak perempuan itu berlalu pergi meninggalkan lelaki tua itu berseorangan. Budak perempuan itu sangat gembira dengan pemberian hadiah dari lelaki tua tersebut.

Satu per satu kanak-kanak balik ke rumah ibu bapa mereka masing-masing. Lelaki tua itu masih berada di taman permainan, masih terduduk di situ. Sehinggalah lelaki tua itu mengeluarkan cermin mata lalu memakainya semula.

Dunia yang hitam putih kembali berwarna. Kanak-kanak kembali riang bermain di taman permainan. Matahari kembali bersinar cahaya, awan mula kelihatan biru dan putih. Senyuman kembali terukir di bibirnya. Dia mula terkenangkan kembali zaman kanak-kanaknya. Wajah arwah ibu dan ayahnya. Sedang dia tersenyum, roh lelaki tua itu keluar dari jasadnya lalu naik ke atas langit. Dia pergi meninggalkan dunia ini. Tapi dia tidak meninggalkannya begitu sahaja, budak perempuan itu akan terus menyambung legasinya.

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s