DANIYA

“Ambik kau! Rasakan!”

“Tolong… Jangan tarik tudung aku.”

“Kau kat dalam kelas boleh la kalahkan aku. Tapi kat luar ni, aku yang menang!” Kata pelajar perempuan itu sambil menarik tudung pelajar perempuan yang sedang terasa sakit rambutnya ditarik sekali bersama dengan tudung putihnya.

“Apa salah aku?” Tanya mangsa buli itu sambil cuba menolak pembuli yang berada di hadapannya.

“Sebab kau pandai. Semua cikgu sayangkan kau!”

“Aku boleh tolong kau kalau kau tak faham apa yang cikgu ajar kat dalam kelas tadi.”

“Ah kau! Kau ajar aku pun cikgu tetap sayang kau setan!” Perempuan itu terus menarik tudung perempuan yang sudah tidak berdaya melawan sehingga tudungnya tertarik keluar, menampakkan rambut panjangnya.

Perempuan lemah itu terus terjatuh di atas lantai. Apa yang lebih menjijikkan, si pembuli masih tidak berpuas hati lalu menendang kepala si mangsa. Sehingga dia berasa puas hati barulah si pembuli itu keluar dari tandas perempuan. Kepala si mangsa masih lagi terasa sakit, dia berasa seperti di awang-awangan. Dia cuba bangun dan berjalan perlahan-lahan ke sinki tandas untuk mencuci muka sehingga bersih supaya cikgunya tidak syak apa-apa apabila dia kembali ke kelas nanti. Dia memakai tudungnya kembali, keluar dari tandas dan terus menuju ke kelasnya. Dia tidak mahu melaporkan kejadian yang berlaku ke atas dirinya kepada guru disiplin kerana takut si pembuli itu akan membuli dia dengan dua kali ganda lebih teruk daripada yang tadi.

Daniya, pelajar perempuan tingkatan 5. Tahun ini dia akan menduduki peperiksaan SPM. Peperiksaan yang akan menentukan segala-galanya, tapi bukanlah antara hidup dan mati. Sekurang-kurangnya peperiksaan SPM tidaklah terlalu serius seperti peperiksaan CSAT (College Scholastic Ability Test) di Korea Selatan di mana tahap seriusnya sampaikan kapal terbang tidak dibenarkan berada di atas udara supaya bunyinya tidak menganggu para pelajar dan kalau mereka gagal, sesetengah pelajar mungkin akan bunuh diri. Harap perkara itu tidak berlaku di Malaysia.

ce18dd2ac23a43e3f6ca58cd27b5b451

Ini merupakan sekolah ketiga Daniya dipindahkan, Sudah tiga bulan Daniya di sekolah baru itu. Atas alasan apa Daniya dipindahkan? Kerana ayahnya selalu bertukar ke cawangan lain di tempat kerjanya. Ayah Daniya bekerja sebagai operator di sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan Wi-Fi. Manakala ibu Daniya meninggal dunia semasa melahirkannya.

Daniya ialah seorang ulat buku, dia sangat suka membaca buku, terutamanya buku-buku cerita semasa dia kecil. Disebabkan dia selalu membaca, dia mudah untuk mengingat sesuatu peristiwa terutamanya dalam subjek Sejarah. Subjek kegemarannya. Subjek Sains dan Fizik juga merupakan subjek kegemarannya.

Tapi di sekolah dia agak pendiam, tidak ramai yang mahu berkawan dengannya. Namun, tidak ramai yang tahu sebenarnya Daniya menghidap Autism sejak kecil. Agak pelik apabila ayahnya tidak pernah memberitahu mengenai perkara itu kepada cikgu-cikgu di sekolahnya. Mungkin sebab kenapa pelajar di sekolah itu tidak mahu berkawan dengannya adalah disebabkan Daniya selalu dikaitkan dengan ‘sumpahan maut’ apabila tiga orang pelajar ditemui mati di dalam sungai di sekolah kedua Daniya dan tiga orang pelajar dari sekolah pertama Daniya mati kerana kemalangan di jalan raya. Apa yang peliknya, kesemua pelajar yang mati itu adalah yang selalu membuli Daniya. Oleh sebab itu, mereka selalu menjauhkan diri darinya.

Tetapi ada seorang yang menerima Daniya di sekolah barunya. Fahrim, pelajar lelaki, sama umur dan sama kelas dengannya. Fahrim selalu melayani Daniya dengan baik, disebabkan sifat baiknya, mereka berdua selalu mengulang kaji dan Daniya banyak membantu Fahrim jika dia tidak faham terutamanya soalan-soalan berkaitan Matematik. Daniya bukannya tidak boleh bercakap, dia cuma ada masalah komunikasi (salah satu simptom Autism) dan dia perlukan orang seperti Fahrim supaya dia boleh berinteraksi dengan baik. Tapi apabila tiba di rumah, ayahnya ialah orang kedua yang dia sangat sayang.

Daniya selalu mendapat nombor satu dalam setiap peperiksaan bulanan sehinggakan semasa Daniya di sekolahnya yang lepas, para cikgu membahagi-bahagikan para pelajar menjadi enam kelas. Tiga kelas di atas terdiri dari kalangan pelajar yang boleh dikatakan terbaik, dan semestinya Daniya berada di kelas pertama. Manakala tiga kelas di bawah, terdiri dari kalangan pelajar yang tidak melakukan ‘persembahan’ dengan baik. Nampak seperti ada unsur pecah dan perintah.

Setiap kali dia balik dari sekolahnya, dia akan masuk ke dalam biliknya dan bermain set domino. Sejak zaman kanak-kanaknya, dia suka bermain dengan domino dan juga kadang-kadang bermain puzzle. Daniya akan bermain set domino itu berulang-ulang kali tanpa rasa jemu. Pada waktu malam, Daniya akan mengulang kaji pelajaran dan melakukan kerja sekolah. Ayahnya kadang-kadang tiada di rumah kerana sibuk dengan kerja. Tapi setiap kali ayahnya balik ke rumah, Daniya akan tersenyum panjang lebar kerana ayahnya akan membawa balik sekali makanan kegemarannya, Nasi Goreng Cina dan Tom Yam. Bila ayahnya ada masa terluang, dia akan meluangkan sepenuh masanya bersama dengan satu-satunya anak tunggal yang dia ada.

Lagi beberapa bulan sahaja lagi Daniya perlu melakukan persiapan untuk menduduki peperiksaan SPM. Daniya memberikan sepenuh tenaganya untuk mengulang kaji pelajaran sama ada bersama dengan Fahrim atau sendirian. Ayahnya turut membantu Daniya dari segi kewangan jika Daniya mahu membeli buku-buku latihan baru. Tapi sepanjang masa Daniya menghabiskan masanya di rumah untuk belajar kerana dia takut akan berjumpa dengan pembuli-pembuli yang tinggal seduduk di kawasan taman perumahannya. Daniya tidak mahu memberitahu kepada ayahnya kerana dia tidak mahu ayahnya berasa marah dan sedih dan rasa bersalah.

“Ayah, Daniya pergi dulu ya.” Senyum Daniya.

“Buat yang terbaik! Lulus atau tak, kamu tetap anak ayah. Relax masa jawab soalan nanti.” Ayahnya berikan semangat dan cuba memberikan nasihat supaya Daniya tidak berasa tertekan semasa menjawab nanti.

“Jangan risau ayah. Daniya akan buat yang terbaik. Untuk ayah dan ibu.” Ayahnya melihat anak perempuannya berjalan masuk melepasi pagar sekolah. Sebelum Daniya meneruskan perjalanannya, Daniya melambaikan tangannya. Ayahnya juga membalas lambaian tangan kepada anaknya sebagai tanda sayang.

Beberapa bulan kemudian…

 Hari ini adalah hari Daniya mengambil keputusan peperiksaan SPM. Dia melangkah masuk ke dalam dewan sekolah, berjalan menuju ke meja yang telah ditetapkan oleh para cikgu untuk mengambil slip keputusan peperiksaan. Apabila tiba giliran Daniya, Cikgu Suraya, guru kelas dan guru Sains Daniya memberikan slip itu kepada dia serentak bersama dengan senyuman.

“Tahniah Daniya. Kamu dapat 9A+. Cikgu bangga dengan kamu.”

“Terima kasih cikgu.” Daniya tersenyum. Senyumannya membawa dia keluar dari dewan itu. Tapi sebaik sahaja dia melangkah keluar dengan senyuman gembira. Tiba-tiba, badannya ditolak dengan kuat sekali sehingga dia jatuh tersungkur di luar pintu masuk dewan sekolah.

“Hoi setan! Kau ingat kau pandai sangat? Aku pun boleh dapat A la.” Danielle, pelajar perempuan sama kelas dengan Daniya. Dialah yang selalu membuli Daniya dan orang yang sama menendang Daniya di dalam tandas perempuan. Daniya pun tidak tahu kenapa Danielle selalu membulinya kerana kalau hendak diukur dari paras rupa, Danielle lebih cantik. Sebenarnya Danielle cemburu dengan kepintaran Daniya.

“Aku tak kacau kau pun!”

“Oh berani melawan ya! Jom geng, kita pijak dia berjemaah.” Danielle tidak datang berseorangan. Dia datang bersama dengan dua orang kawannya.

Daniya dipijak oleh Danielle bersama-sama dengan kawannya. Dia cuba untuk menghalang mereka bertiga tapi dia tidak berdaya. Habis pakaiannya kotor dipijak dengan keji oleh Danielle dan rakan-rakannya. Daniya sudah hampir pengsan, sehinggalah Fahrim datang menghalang mereka bertiga.

“Hoi! Apa korang buat?!”

“Wei! Wei! Lari! Lari! Boyfriend dia datang.”

“Aku bukan boyfriend dia la!”

“Eee, berani kau rapat dengan dia. Kau nak mati dengan sumpahan dia!”

“Sumpahan apa ni?! Benda tahyul apa kau percaya ni?!”

“Habislah kau lepas ni haha!”

“Blah kau!”

Danielle melarikan diri bersama dengan rakannya, meninggalkan Fahrim dan Daniya di belakang. Sementara itu, Fahrim menolong Daniya dengan cuba membangunkan Daniya yang sudah cedera teruk secara perlahan-lahan. Daniya meminta Fahrim supaya menghantarnya ke klinik. Selepas luka di badannya sudah sembuh dirawat oleh doktor, Daniya berehat lama di klinik itu, Fahrim ada di situ untuk menemaninya.

Akan tetapi, Daniya perlu pulang cepat sebelum waktu maghrib menjelma kerana pada waktu itu ayahnya sudah pulang ke rumah dan dia tidak mahu dimarahi kerana pulang lewat. Fahrim menghantarnya pulang ke rumah dengan menaiki motorsikal milik Fahrim.

Pada waktu malam itu, Daniya memberikan slip keputusan peperiksaannya kepada ayahnya yang sedang bersandar di sofa, sedang keletihan dan berpeluh kerana bekerja keras demi menyara anak kesayangannya. Tetapi selepas melihat keputusan anak perempuannya itu, semua penat lelahnya hilang dalam sekelip mata. Senyuman di bibirnya mula mekar bak sekuntum bunga ros, matanya bersinar memandang wajah Daniya seperti dia sedang memandang bidadari.

“Tahniah sayang!”

“Daniya takkan berjaya tanpa bantuan dari ayah.” Senyum Daniya. Ayahnya memeluk Daniya dengan penuh erat. Ayahnya berjanji akan menempatkan Daniya di universiti terbaik dan dia tidak akan mengonkong Daniya untuk memilih mana-mana kursus yang dia minat di universiti nanti.

Seminggu selepas itu, pihak sekolah menelefon ayah Daniya untuk menjemput dia dan Daniya menghadiri ke majlis anugerah pelajar cemerlang yang akan berlangsung pada esok hari di dewan sekolah. Daniya dan ayahnya bersetuju untuk datang ke majlis itu. Pada keesokkan harinya, Daniya naik ke atas pentas bersama dengan ayahnya untuk menerima sijil anugerah pelajar cemerlang dari tangan pengetua sekolah.

Ia merupakan saat yang paling gembira untuk seorang ayah melihat senyuman kejayaan anak perempuannya. Tapi kegembiraan itu tidak lama apabila diganggu oleh seorang pelajar perempuan yang berada di bawah pentas. Dia memberikan isyarat dua ibu jari ke bawah dan membuat bunyi “BOO!!!” kepada Daniya. Perempuan itu tidak lain dan tidak bukan ialah Danielle bersama-sama dengan rakannya menghina Daniya.

“Dia dapat A sebab ada hantu tolong dia!!!” Kutuk Danielle. Daniya berasa sangat takut sehingga dia tidak mampu berkata apa-apa. Perbuatan Danielle itu disaksikan oleh semua guru dan pelajar yang hadir ke majlis itu, namun dia langsung tidak endahkan tentang apa yang orang lain fikir tentang dia. Tidak tahu malu.

Tapi ayah Daniya tampil ke hadapan untuk melindungi anaknya. “Hoi budak! Kau ni dah kenapa?!”

Guru kelas Daniya juga turut memarahi Danielle. Danielle tidak membalas, sebaliknya dia keluar dari dewan sekolah sambil memberikan wajah tidak puas hati kepada Daniya. “Daniya, kamu jangan pedulikan si Danielle tu. Dia tu memang cemburukan kamu dari dulu.” Guru kelasnya cuba menenangkan perasaan Daniya. Wajah Daniya kembali tenang dan gembira selepas Danielle dan rakan-rakannya beredar dari dewan.

Daniya dan ayahnya turun melalui tangga di belakang pentas. Di situ, Fahrim sedang menunggu ketibaan Daniya. Ayah Daniya meninggalkan mereka berdua untuk memberikan mereka masa untuk berbual. “Aku nak ucapkan tahniah atas kejayaan kau Daniya, lepas ni kita dah tak jumpa dah. Kita berdua bawa haluan masing-masing.” Senyum Fahrim.

“Ala, jangan cakap macam tu. Kau cakap macam aku nak pergi buat selama-lamanya. Nanti kalau aku lapang, aku jumpa kau, ok?”

“Ok. Terima kasih sebab kau dah banyak tolong aku. Walaupun aku tak dapat A.” Fahrim menundukkan kepalanya seperti dia rasa tidak berpuas hati dengan keputusan peperiksaannya.

“Fahrim, jangan sedih. Kau patut bersyukur sebab kau lulus. A bukanlah segala-galanya, jadi manusia berguna kat luar sana itu lebih penting. Mungkin kau ada kelebihan kau sendiri yang tak boleh ditulis atas kertas. Lain orang, lain kemahirannya.”

“Betul kata kau.” Fahrim tersenyum kembali selepas Daniya memberikan kata-kata semangat kepadanya.

“Lagi satu, jangan ucap terima kasih kat aku. Terima kasih juga kat cikgu-cikgu kita.” Fahrim mengangguk, mereka berdua senyum tatkala pelajar-pelajar lain yang mendapat keputusan cemerlang mengambil sijil anugerah dari tangan pengetua bersama dengan ibu bapa mereka masing-masing sambil disaksikan oleh pelajar-pelajar lain yang mendapat keputusan ‘biasa-biasa’ sahaja. Sebelum majlis itu berakhir, Daniya sempat ditemu ramah oleh beberapa orang wartawan, tapi tidak lama kerana Daniya berasa tidak senang untuk bercakap di hadapan kamera dan meminta ayahnya supaya membawa dia pulang ke rumah. Daniya berasa agak kaku untuk bercakap di hadapan orang yang baru sahaja dia jumpa. Empat hari kemudian, Daniya dikejutkan dengan satu berita.

Apabila ayahnya pergi untuk mengambil surat yang baru sahaja dimasukkan ke dalam peti surat oleh posmen. Ayahnya memberitahu kepada Daniya bahawa dia mendapat surat tawaran untuk sambung belajar ke universiti yang ayahnya mahukan dan universiti itu tawarkan bidang yang Daniya minati. Daniya memang bersetuju untuk menerimanya.

Tapi, Daniya dikejutkan dengan satu lagi berita. Jiran di sebelah rumah Daniya memberitahu kepada ayahnya bahawa Danielle dan tiga orang rakannya yang tinggal berhampiran di kawasan perumahan Daniya telah mati. Reaksi Daniya dan ayahnya sangat terkejut seperti tidak percaya sebab budak perempuan itu yang ayahnya tegur empat hari yang lepas kerana memburuk-burukkan anaknya.

“Apa?! Macam mana mereka bertiga boleh mati?” Tanya ayah Daniya.

“Saya pun tak tahu. Tapi pihak polis dah ada kat rumah si Danielle tu. Baik kita pergi ke rumah dia kalau nak tahu apa yang dah terjadi.” Balas jiran sebelah rumah Daniya itu. Maka, ayahnya dan Daniya mengikuti jiran mereka itu ke rumah Danielle.

Tiba di sana, beberapa buah kereta polis dengan lampu biru masih dihidupkan berada di hadapan rumah Danielle. Orang ramai berkumpul untuk melihat apa yang sedang berlaku, manakala beberapa orang anggota polis sedang mengawal keadaan dan juga sedang menjalankan siasatan.

Ayah Daniya bertanya kepada salah seorang anggota polis yang bertugas untuk mengetahui apa yang sudah berlaku. Anggota polis itu memberitahu tiga rakan Danielle bermalam di rumahnya tiga hari yang lepas. Danielle dan tiga orang rakannya mati akibat keracunan makanan dan mereka telah menahan ibu Danielle sebagai suspek utama kerana hanya dia seorang sahaja yang berada di dalam rumah itu. Ayah Danielle sedang bertugas di luar negara segera kembali ke Malaysia.

Tiga hari kemudian, artikel di akhbar tempatan menulis bahawa mahkamah memutuskan ibu Danielle didapati bersalah kerana telah membunuh Danielle dan tiga orang rakannya. Bukti-bukti dalam siasatan yang telah dijalankan menunjukkan botol serbuk racun serangga ada disimpan di dalam laci meja bilik ibu Danielle adalah racun yang sama terdapat dalam makanan yang dihidangkan. Cap jari pada botol racun tersebut juga mengesahkan bahawa ianya milik ibu Danielle dan ujian air kencing juga menunjukkan ibu Danielle berada di bawah pengaruh dadah. Ibu Danielle dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Daniya masih tidak percaya yang ibu Danielle sanggup lakukan perbuatan keji itu terhadap anaknya sendiri. Walaupun, Danielle selalu membuli Daniya, tapi hidupnya tidak sepatutnya berakhir seperti itu, Daniya memaafkan segala kesalahan yang telah Danielle lakukan dan semoga dia tenang di sana.

Daniya ada masa selama seminggu sahaja untuk membuat persiapan sebelum dia bertolak ke universiti untuk mendaftar di sana pada minggu hadapan. Ayahnya berada di luar negeri atas urusan kerja, jadi selama seminggu itu Daniya berada di rumah seorang diri.

Pada waktu petang, Daniya pergi ke pasar raya untuk membeli sedikit barang. Sedang dia memilih kotak ubat gigi dengan pelbagai jenama. Seorang mak cik dengan telefon pintar di tangannya memerhatikan wajah Daniya dalam keadaan penuh serius seperti Daniya telah melakukan sesuatu yang sangat jahat. Kemudian mak cik kembali melihat telefon pintarnya, kemudian dia kembali melihat wajah Daniya sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

Daniya mula berasa takut lalu dia terus pergi ke kaunter pembayaran dan cepat-cepat keluar dari pasar raya itu kerana bukan mak cik itu seorang sahaja yang memerhatikan Daniya. Malah, beberapa orang lain juga turut melihat Daniya seperti seorang penjenayah, semuanya memandang sambil memegang telefon pintar di tangan mereka.

Tiba-tiba Daniya mendapat pesanan mesej dari Fahrim. Dia menghantar satu pautan ke satu laman web blog yang memaparkan berita bertajuk ‘Gambar Bogel Pelajar Cemerlang SPM Tersebar Di Internet. “Betul ke ini kau?” Itu mesej yang dihantar.

Daniya membuka pautan itu dan terkejut melihat wajahnya dalam keadaan bogel. Daniya tidak pernah lakukan perbuatan terkutuk seperti itu. Apa yang menyedihkan adalah komen-komen dari netizen yang berbau hina dan bersifat mengutuk telah melukakan lagi hati dia. Maka dia terus berlari masuk ke rumah dan mengunci pintu biliknya.

Dia menangis kerana takut untuk bertemu dengan orang lain. Dia menangis sehingga bulan mula menjelma. “Itu bukan aku. Itu bukan aku! Siapa yang fitnah aku? Siapa lagi yang benci kat aku?! Apa salah aku kat diaorang!!!” Daniya mula menjerit-jerit di dalam biliknya. Sehinggalah dia mendapat pesanan mesej dari nombor yang tidak dikenali.

“Ini kerja Fahrim, dia yang lakukan semua ini. Dia yang ubah suai gambar kau. Dia buat semua ini kerana dia cemburukan kejayaan kau dalam SPM.”

“Apa? Siapa kau?” Daniya balas pesanan mesej misteri itu.

“Siapa aku tu tak penting. Yang penting sekarang kau pilih sama ada nak dia mati atau tidak.” Dia menghantar gambar yang menunjukkan Fahrim diikat di atas kerusi dan seseorang yang memakai topeng hitam sedang mengacukan pistol di kepala Fahrim

“Tolong. Tolong jangan bunuh dia.”

“Kau pasti?”

“Pasti.”

“Baiklah. Aku takkan bunuh dia. Kau memang anak yang baik. Aku akan bantu buang semua gambar tu. Jangan beritahu sesiapa pun tentang perbualan kita ini.”

“Kenapa kau bantu aku?”

“Sebab kau di fitnah. Aku tak suka tengok orang baik dipijak macam sampah.” Tiba-tiba mesej dari nombor yang tidak dikenali itu terpadam dari telefon pintar Daniya.

Daniya berasa pelik dengan apa yang telah terjadi sebentar tadi. Dia tidak percayakan orang itu. Tapi dia berharap orang itu tidak membunuh Fahrim. Soalan-soalan mula bermain di fikirannya, kenapa Fahrim, kawannya yang paling rapat, sanggup menganiaya dia hanya kerana sekeping kertas keputusan sahaja.

Pada pukul sebelas malam, ayahnya bergegas kembali ke rumah setelah mendapat tahu tentang berita yang tersebar itu. Ayahnya mengetuk pintu bilik Daniya yang telah dikunci. “Daniya, buka pintu. Ini ayah.” Daniya bangun dan membuka pintu. Lantas dia terus memeluk erat ayahnya sambil menangis teresak-esak.

“Maafkan ayah. Ayah bukan seorang bapa yang bagus.” Ayahnya mengalirkan air mata merasakan yang dia tidak mampu menjaga anaknya dengan baik. Ayah Daniya sudah membuat laporan polis mengenai kes jenayah siber ini.

Pada keesokan harinya, ayahnya menerima panggilan dari pihak polis yang mengatakan mereka sudah dapat menangkap orang yang melakukan perbuatan terkutuk itu. Ayahnya terkejut kerana rakan karib Daniya sendiri yang melakukan jenayah itu. Anggota polis itu memberitahu lagi yang semalam mereka mendapat panggilan misteri yang mendedahkan lokasi di mana Fahrim berada termasuk sekali dengan bukti yang ada.

Fahrim meringkuk dalam penjara. Nama baik Daniya kembali bersih dan pihak media mula menyebarkan berita yang sebenar. Kini, Daniya berada di pintu masuk unversiti, dia memeluk bapanya dan pergi meninggalkan bapanya yang sedang bersandar di pintu kereta. Sedang dia melihat anaknya pergi, hatinya berkata.

“Ayah akan sentiasa lindungi kau. Anak yang baik.” Senyumnya.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s