AKU MAHU PULANG!

army by The U.S. Army
Sumber gambar: nhpr.org

Pada waktu malam yang sunyi, di kawasan hutan yang sangat berkabus. Di balik batang-batang kayu pokok yang besar, kelihatan beberapa kubu bawah tanah yang telah dibina sejak beberapa minggu yang lalu. Beberapa orang anggota tentera tidak melelapkan mata mereka kerana sedang fokus mengawal posisi masing-masing. Senjata raifal tidak langsung dialihkan ke tempat lain, kekal pada sasarannya di sebelah selatan di mana mereka menjangkakan pihak musuh akan menyerang dari arah itu.

Terdapat tujuh buah kubu bawah tanah di situ. Anggota-anggota askar yang tidak bertugas pula sama ada sedang bermimpi ke alam lain atau sedang berehat atau sedang melapik perut yang berbunyi dengan sebungkus roti dan sebotol air mineral. Mereka menjamah makanan dan minuman itu hanya sedikit sahaja kerana mereka tidak mahu bekalan tenaga simpanan habis begitu sahaja.

Di dalam kubu keempat, hanya ada seorang sahaja askar yang tidak bertugas dan dia sedang berjalan ke hadapan dan ke belakang seperti dia sedang memikirkan sesuatu di dalam mindanya. Wajahnya kelihatan sungguh risau dan ditambah pula dengan titisan-titisan air peluh yang membasahi keseluruhan mukanya. Kedua-dua belah tangannya mengigil seperti diserang ketakutan yang melampau. Tapi dia seorang askar, bukankah seorang askar patutnya menjadi seorang yang berani?

Langkah kaki askar itu terus terhenti apabila seorang anggota askar berpangkat prebet masuk untuk bertemu dengannya. “Sarjan Dima.” Dia mengangkat sebelah tangannya untuk memberi tabik hormat. Askar berpangkat sarjan itu juga memberikan tabik hormat kepadanya.

“Saya bawakan apa yang sarjan mahukan.” Askar itu memberikan kepada Sarjan Dima sejenis komputer riba bersaiz kecil yang mana fungsinya hanya digunakan dalam unit ketenteraan.

“Bagus Prebet Tiga.” Sarjan Dima mengambil komputer riba itu dari tangan Prebet Tiga.

“Saya juga dah tukarkan frekuensi isyaratnya supaya pihak atasan tidak dapat mengesan sarjan.” Jelas Prebet Tiga.

“Terima kasih… Tiga, kamu jangan risau. Saya akan dedahkannya dan kita semua boleh pulang nanti.”

“Saya harap apa yang sarjan lakukan ini adalah perkara yang betul.” Prebet Tiga memberikan tabik hormat sebelum keluar dari kubu itu.

Tanpa melengahkan masa, Sarjan Dima terus duduk di atas kerusi dan membuka komputer riba itu di atas meja makan. Dia mula mengakses ke bahagian menghantar dan menerima mesej. Tangannya yang menggigil tadi cuba ditenangkan olehnya dengan melakukan sedikit rengangan pada setiap jari-jemari. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya, bersedia untuk menaip, bersedia untuk mendedahkan. Tapi, perkara apa yang dia hendak dedahkan?

‘Ke hadapan ibu dan ayah tercinta.

Pertama sekali, Dima nak minta maaf sebab saya langsung tidak hubungi ibu dan ayah sejak Dima diterbangkan ke negara ini. Pihak atasan tidak benarkan kami menghantar apa-apa mesej kepada ahli keluarga masing-masing. Dima taip mesej ini bukan untuk ibu dan ayah sahaja, tapi untuk semua orang di negara kita. Mereka semua perlu tahu kebenarannya.

Saya mahu pulang! Dima sudah tidak tahan berada dalam negara ini. Saya sudah tidak larat lihat rakan-rakan saya mati di hadapan mata saya setiap hari, setiap masa, pagi dan petang, tanpa henti. Setiap malam, Dima berasa truma dan tidak boleh tidur kerana imej mayat-mayat rakan Dima terbayang-bayang dalam minda Dima. Saya rasa bersalah kerana saya ialah ketua pasukan mereka, saya patut menjaga mereka, pastikan mereka terus hidup. Namun, saya gagal, ibu, ayah.

Perkara sebenar yang Dima hendak beritahu ialah kita semua telah dibohongi oleh pihak-pihak atasan selama ini. Apa yang ayah dan ibu lihat di kaca skrin, situasinya di sini sangat berbeza. Dulu, Dima ingat kami dihantar ke negara ini atas sebab untuk mempertahankan negara kita dari ancaman pengganas. Tapi sebenar tidak, di negara ini tidak ada pengganas, sebaliknya kamilah pengganas!

Tujuh tahun Dima berada di sini. Pelbagai tugasan yang Dima dan rakan-rakan sudah lakukan. Pembunuhan beramai-ramai ke atas penduduk kampung, memusnah dan merampas segala harta-benda dan infrastruktur penduduk tempatan, menghalau penduduk tempatan dari negara mereka sendiri, banyak lagi sebenar, tidak terkira. Tidak lama selepas itu, barulah tentera pemberontak negara ini mula membalas tindakan kejam kami.

Kami semua tidak mahu melakukannya, tapi jika ada di antara kami yang enggan menjalankan tugas atau cuba untuk memberontak. Pihak atasan akan bunuh kami semua. Kami semua tidak dibenarkan balik! Pada mulanya, Dima rasa seperti seorang wira, sekarang Dima rasakan yang Dima ialah seorang pembunuh! Penduduk di sini tidak bersalah, kami yang bersalah! Kami yang menceroboh ke negara mereka.

Saya rasa sangat berdosa. Ibu, ayah, Dima rindukan ayah di sini. Dima rindukan masakan ibu, Dima mahu memancing bersama ayah. Dima rindukan kampung halaman di sana. Tujuh tahun di sini bagaikan tujuh puluh ribu tahun di neraka. Kenapa? Kenapa mereka menghantar kami semua ke negara yang tidak langsung memberi ancaman kepada negara kita?

Dalam mesej ini, Dima lampirkan beberapa keping gambar berserta dokumen-dokumen berkaitan operasi ketenteraan ini. Laporkan kepada pihak media, semua orang di sana patut tahu berita yang sebenar. Hanya ibu dan ayah sahaja harapan Dima dan rakan-rakan yang lain untuk pulang ke tanah air. Kalau Dima terkorban dalam perang tanpa makna ini. Sebarkan dokumen dan gambar-gambar ini kepada umum supaya anggota-anggota askar yang lebih muda dapat pulang ke negara kita.

Mereka yang lebih muda itu tidak tahu makna sebenar di sebalik perang yang penuh dengan penipuan ini. Pihak atasan telah mempengaruhi minda mereka dengan pelbagai mesin propaganda sehingga mereka menjadi lebih ganas dari binatang buas. Tidak mematuhi etika dan undang-undang dalam peperangan. Dima juga hampir menjadi seperti mereka, tapi Dima masih boleh mengawal fikiran Dima sendiri. Masih lagi waras.

Kalau takdir berubah dan kami semua dibenarkan balik hanya untuk menunggu hukuman fitnah dari pihak atasan, Dima akan terima hukumannya kerana lebih baik saya mati daripada hidup dengan orang-orang yang telah merosakkan nama baik negara kita. Walau apa pun yang terjadi kepada kami, peperangan ini harus dihentikan! Sudah lama kami semua menderita. Dima akan sentiasa rindukan ibu dan ayah. Selamat tinggal.’ Dima menghantar mesej itu.

BOOM! BOOM! BOOM!

“KITA DISERANG!!!” Suara jeritan askar dari luar kubu itu telah mengejutkan semua askar yang masih sedang tidur. Malah mereka yang sedang berdoa kepada tuhan agar peperangan ini dapat dihentikan dengan cepat juga terpaksa menyahut seruan panggilan jika mahu terus kekal hidup dan bertahan.

Kedengaran beberapa bunyi letupan bom di luar kubu bawah tanah. Pantas Sarjan Dima mengambil senjata raifalnya di atas meja dan terus bergerak keluar dari kubu.

Sebaik sahaja Sarjan Dima keluar, kejadian tembak-menembak sudah pun bermula di antara kedua-dua pihak. Pembunuhan dan kematian berada di mana-mana, beberapa anggota askar sudah pun tercedera dan diheret masuk kembali ke dalam kubu.

Lantas, Sarjan Dima melompat masuk ke dalam satu lubang yang dilindungi dengan beg-beg pasir. Bersama dengan Sarjan Dima ialah tiga orang anggota askar. Lubang itu dibina di hadapan kubu dan mempunyai laluan-laluan kecil yang menghubungkan ke lubang-lubang lain. “Anggaran berapa ramai?” Tanya Sarjan Dima ke salah seorang anggotanya.

“Lima puluh hingga sembilan puluh orang sarjan!”

“Tak guna! Kita cuma ada tiga puluh orang saja. Koperal! Arahkan semua anggota kita baling seberapa banyak bom asap dan grenad yang mereka ada ke arah posisi musuh. Kita perlu halang kemaraan pihak musuh.”

“Baik sarjan!” Lalu koperal itu menyampaikan arahan Sarjan Dima melalui radionya.

Sarjan Dima melepaskan beberapa das tembakan dari raifalnya. Walaupun tepat mengenai tiga orang askar, namun pihak musuh yang lebih ramai tetap mara ke hadapan seperti tiada halangan di hadapan mereka. Dengan pandangan yang agak samar-samar di waktu malam dan kawasan hutan yang berkabus, agak sukar untuk anggota-anggota tentera melepaskan tembakan yang tepat ke arah pihak musuh.

Kini, Sarjan Dima tersepit di antara dua konflik. Konflik pertama, dia tidak tahu sampai bilakah peperangan ini akan tamat dan bilakah dia boleh pulang ke tanah air. Konflik kedua, Sarjan Dima perlu mempertahankan kawasan lombong bijih timah ini kerana skuad Dima merupakan pertahanan terakhir selepas beberapa hari yang lalu, skuad-skuad yang lain gagal untuk menahan kemaraan pihak musuh.

Beberapa butir bom asap dan grenad telah dibaling oleh askar-askar Dima ke arah posisi musuh. Kelihatan kepulan asap dari bom tersebut mula naik keluar untuk menyukarkan pandangan mata pihak musuh dari terus mara. Diikuti pula dengan beberapa siri letupan dari grenad yang telah mengorbankan beberapa orang musuh. Letupan grenad itu tadi juga telah menyebabkan badan seorang anggota askar hancur berkecai dan seorang lagi terbang melayang di udara dengan tangan dan kakinya terpisah dari anggota badannya.

“Jadin! Jadin! Apa kau buat ni? Bangun!” Sarjan Dima terkejut melihat Prebet Jadin sedang terduduk sambil menutup kedua-dua telinganya dengan tangan. Dia kelihatan sangat takut sehingga mengalirkan air matanya.

“SAYA TAK TAHAN DENGAR BUNYI TEMBAK NI!!! TOLONG HENTIKANNYA!!! HENTIKAN!!! SAYA NAK BALIK!!!”

Sarjan Dima cuba menenangkan Prebet Jadin. Dia perlahan-lahan memegang kedua-dua belah tangan Jadin dan cuba untuk mengalihkannya dari telinga Jadin. “Tenang Jadin. Tenang. Kau akan dapat harungi semua ni. Kalau kau nak terus hidup. Ikut aku!”

“Baik sarjan!” Air mata berhenti mengalir keluar dari mata Jadin. Semangat Prebet Jadin untuk kembali ke medan perang membuak-buak naik selepas Sarjan Dima memberikannya kata-kata semangat.

Sarjan Dima kembali melepaskan tembakan bersama-sama dengan skuadnya. Pihak musuh masih mara ke hadapan, semakin hampir dengan posisi skuad Dima. Bom asap dan grenad tadi tidak mencacatkan langsung pergerakkan pihak musuh. Ini merisaukan lagi Sarjan Dima, lalu dia memberi arahan kepada koperal yang berada di sebelahnya.

“Koperal Masih! Arahkan anggota-anggota kita baling grenad M14 TH3 sekarang!”

“Baik sarjan.” Koperal Masih menghantar arahan Sarjan Dima terus ke radionya.

BANG!

“Koperal!!!” Sejurus selepas Koperal Masih menghantar arahan itu. Dia terus ditembak tepat ke arah leher. Sarjan Dima sangat terkejut dengan apa yang telah terjadi kepada Koperal Masih. Koperal Masih sudah rebah di atas lantai tanah dengan darah mula terpancut keluar dari lehernya. Sarjan Dima menekan pada luka tembakan di leher koperal itu dengan tangannya, cuba untuk menghentikan pendarahan.

“MEDIK! MEDIK!” Sarjan Dima cuba meminta pertolongan, tapi tiada seorang pun anggota medik yang datang kepadanya.

“Masih! Masih! Bertahan! Bertahan!” Malangnya, Koperal Masih tidak dapat diselamatkan. Dia mati dalam keadaan matanya terbuka, namun Sarjan Dima menutup matanya supaya dia tenang di sana.

Sarjan Dima tidak berkata apa-apa dan kembali melepaskan tembakan. Sementara itu, askar-askar Dima sedang membaling grenad M14 TH3 ke arah posisi musuh yang semakin menghampiri kedudukan mereka.

Grenad itu telah memberikan kesan yang buruk kepada pihak musuh. Melepaskan haba kepanasan dan membakar beberapa orang anggota tentera pihak lawan seperti sedang dibakar dalam neraka. “TOLONG!!! TOLONG!!!” Suara jeritan dari pihak lawan mula kedengaran, meronta-ronta meminta tolong. Namun itu tidak lama apabila beberapa orang askar berlari ke arah posisi skuad Dima dalam keadaan badan mereka masih lagi sedang terbakar.

Mereka melompat masuk ke dalam lubang-lubang dan menerkam ke arah askar-askar Dima, lalu mereka juga turut dibakar bersama-sama dengan pihak musuh sampai hangus menjadi hitam.

Yang memburukkan lagi keadaan, pihak musuh membalas dengan membaling Molotov Cocktail ke arah posisi skuad Dima. Mana-mana yang terlepas dari serangan berani mati oleh askar-askar terbakar tadi tidak akan dapat melarikan dari api kebakaran Molotov Cocktail yang merebak dengan pantas ke dalam setiap lubang.

Keadaan sangat huru-hara, bilangan askar Dima semakin berkurangan. Pihak musuh semakin dekat dengan kedudukannya. “AAARRRGGGHH!!!” Seorang askar yang berada di lubang lain menjerit apabila badan terkena api Molotov Cocktail. Sarjan Dima melompat keluar dan cuba untuk membantu anak buahnya yang sedang terbakar.

Sarjan Dima menyimbah air dari botolnya, cuba untuk melenyapkan api kebakaran di badan askar itu. Semasa Sarjan Dima sibuk cuba untuk menyelamatkannya, Sarjan Dima terlihat Prebet Jadin melompat keluar dari lubang.

Dia berjalan dalam keadaan lemah longlai ke arah kedudukan tembakan pihak musuh. Jadin menjatuhkan senjatanya seperti dia sudah mengaku kalah. Bibirnya tidak berhenti bergerak seperti dia sedang mengatakan sesuatu. Jadin sudah hilang kewarasannya.

“Jadin!!! Apa kau buat hah!?”

Jadin berpaling ke belakang untuk melihat ketuanya. Dari situ Sarjan Dima sudah tahu, dari pandangan mata Jadin, dia mahu membunuh dirinya. “Sarjan kata saya akan dapat harungi semua ni. SARJAN TIPU! SARJAN TIPU!”

“AHHH!!!” Tiba-tiba Prebet Jasin diterkam oleh askar pihak musuh di mana seluruh badannya sedang terbakar. Dia menerkam Prebet Jasin lalu mereka berdua terus dibakar bersama-sama.

Sarjan Dima tidak dapat menyelamatkan Prebet Jasin mahupun askar yang berada di hadapannya yang sudah hangus terbakar. Degupan jantungnya mula bergerak dengan laju, telinganya langsung tidak mendengar apa-apa, pandangannya mula kabur seperti dia mahu pengsan di situ.

BOOM!

Dia mula kembali tersedar selepas terdengar bunyi letupan grenad yang datang dari arah belakangnya. Sarjan Dima terus bergegas ke tempat letupan itu. Apabila dia tiba di sana, dia melihat seorang askarnya sedang meraung menahan sakit apabila letupan grenad tadi telah menghancurkan kedua-dua belah kakinya.

Pada tahap yang kritikal ini, hampir kesemua anggota tentera di bawah naungan Sarjan Dima sudah mati atau sudah tinggal nyawa-nyawa ikan. Sarjan Dima cuba mengheret askar itu untuk masuk ke dalam kubu. Tapi dia dihalang oleh satu suara yang datang dari arah selatan. “Berhenti! Jangan bergerak!”

“Jangan tembak! Jangan tembak! Saya serah diri!” Sarjan Dima mengangkat kedua-dua belah tangannya. Beberapa orang anggota askar mengacukan senjata ke arah Sarjan Dima.

Seorang lelaki berpakaian jaket dan seluar jeans serta bersenjatakan senapang automatik sedang memandang tepat dan serius ke arah Sarjan Dima. Sarjan Dima dapat merasakan perasaan amarah dari pandangan matanya.

“Kamu berempat, ikat dia, yang cedera tu kamu rawat dia. Yang lain-lain, kita gunakan kubu bawah tanah ini sebagai tempat tinggal sementara sebelum kita semua bergerak ke sana. Kita sudah pun dapat tawan lombong bijih timah kita.” Arah lelaki itu kepada semua orang bawahannya.

Sarjan Dima telah diikat dan dihantar masuk ke dalam kubu sementara askar yang sudah kehilangan kakinya tadi telah dibawa ke tempat lain untuk dirawat.

Sarjan Dima duduk di atas kerusi di hadapan meja sambil ditemani oleh seorang pengawal. Tangannya sudah diikat dengan kuat dan dia tidak dapat melepaskan diri dan tidak ingin pun melepaskan diri kerana dia sudah bersedia untuk mati di tangan pihak musuh.

Setelah sekian lama, lelaki berpakaian jaket dan seluar jeans tadi masuk untuk bertemu dengannya. Dia datang dengan membawa makanan dan minuman. “Buka ikatan dia.” Arahnya kepada pengawal yang berada di situ.

Lalu pengawal itu pun membuka ikatan pada tangan Sarjan Dima. Lelaki itu mendekati Sarjan Dima, dia meletakkan makanan dan minuman di atas meja. Nasi putih dan ayam bakar yang dihidangkan di atas pinggan plastik berserta air kosong.

“Makanlah.” Sarjan Dima memandang pelik ke arah lelaki itu.

“Kenapa kau tak bunuh aku?” Tanya Sarjan Dima.

“Kami takkan bunuh pihak musuh yang menyerah diri atau yang tercedera. Itu etika disiplin kami dalam peperangan.” Jelas lelaki itu.

“Nama aku Yasmir Arafa. Aku pasti perut kau sudah berbunyi, baik kau makan.” Tekaan lelaki itu tepat, perut Sarjan Dima memang sudah berbunyi. Lalu Sarjan Dima pun melahap makanan dan minuman itu seperti dia sudah tidak makan selama seminggu.

Yasmir Arafa berjalan untuk mengambil kerusi yang berada di sebelah pengawal, membawanya ke hadapan meja dan terus duduk menghadap Sarjan Dima. Kini mereka berdua berpandangan semasa sendiri, tetapi Sarjan Dima tidak memandangnya kerana sedang sibuk melahap makanan.

“Orang-orang kamu ini tak tahu malu ke? Reka cerita kata kami yang lakukan serangan itu ke atas negara kamu. Ceroboh negara kami. Bunuh, seksa, sembelih dan halau orang-orang kami dari negara kami sendiri. Rampas segala sumber hasil bumi negara kami. Apa negara kamu tak cukup sumber hasil bumi?” Nada suara Yasmir seperti dia sedang marah tapi dia masih mengawal kemarahannya.

Sarjan Dima yang sedang seronok melahap makanan terus berhenti apabila mendengar nada suara yang tidak sedap didengar itu keluar dari mulut Yasmir.

“Oh aku lupa, negara kamu kapitalis. Tamak bagi orang-orang kamu adalah sesuatu benda yang bagus. Segala-galanya adalah hak milik negara kamu di atas muka Bumi ini. Menindas orang lain adalah satu kewajipan bagi orang-orang kamu.” Yasmir mengeluarkan suara hatinya.

“Aku minta maaf.”

“Maaf kau takkan hidupkan balik orang-orang kami yang kau dah bunuh selama ini!” Yasmir menghentak tangannya di atas meja.

“Sebenarnya, kami semua pun tak tahu yang ini semua angkara perbuatan pihak atasan kami. Kami semua rasa sangat bersalah.”

Sarjan Dima menyambung. “Selepas kami tahu perkara yang sebenar, kami semua memang mahu peperangan ini dihentikan. Kami mahu pulang ke negara kami, tapi pihak atasan tidak benarkan.”

“Kesian kau.”

“Tapi jangan bimbang, aku sudah hantar mesej yang akan mendedahkan segala-galanya tentang operasi kotor ini. Pasti mereka di sana akan memprotes menentang pihak atasan supaya menghentikan perang ini.”

“Hmm. Aku harap rancangan kau itu berjaya. Tapi tanpa bantuan kau pun, kami akan tetap merampas semula tanah air ini dengan tangan kami sendiri dari orang-orang kamu.” Ujar Yasmir Arafa. Sebelum Yasmir bangun dan hendak beredar, langkahnya terhenti seketika apabila mendengar Sarjan Dima mengatakan sesuatu.

“Tolong. Aku mahu pulang.” Rayu Sarjan Dima.

Yasmir berpaling ke arahnya. “Kau mahu pulang? Baik, esok aku akan bawa kau pulang.”

“Apa?” Sarjan Dima terkejut dengan jawapan Yasmir itu.

“Baik kau tidur. Kau perlu kumpulkan tenaga untuk perjalanan kau esok.” Yasmir Arafa beredar dari kubu bawah tanah itu.

Sarjan Dima berasa pelik dan keliru dengan jawapan yang telah diberikan oleh Yasmir Arafa sebentar tadi. Namun, Sarjan Dima pun berasa sangat letih pada waktu tengah malam itu. Dia perlu melelapkan matanya, tapi hatinya masih rasa bersalah kerana tidak dapat menyelamatkan ahli-ahli pasukannya. Kelopak matanya sekejap dibuka dan sekejap ditutup. Dia tidak boleh tidur dengan tenang apabila mengenangkan setiap mayat yang dia telah lihat. Mimpi ngeri menghantuinya.

Pada keesokkan paginya, Sarjan Dima dikejutkan sendiri oleh Yasmir Arafa. Dia memberikan pakaian baru dan sarapan pagi kepada Sarjan Dima, menyuruhnya menukar pakaian baru. Selepas Sarjan Dima memakai pakaian baru dan mengambil sarapan pagi, barulah mereka memulakan perjalanan meredah kawasan hutan. Yasmir ditemani oleh dua orang pengawal jika berlaku apa-apa yang tidak diingini.

Selepas hampir setengah jam perjalanan mereka. Akhirnya mereka sampai di tepi pantai. Di tepi pantai itu, terdapat sebuah sampan. Sarjan Dima mula berasa hairan. “Yasmir, kau kata kau nak bawa aku pulang?”

“Aku tak kata pun yang aku akan bawa kau pulang ke negara kau. Kalau kau nak. Kau sendiri kena pergi ke sana.”

“Apa maksud kau?”

“Aku nak kau rasa apa yang orang-orang aku rasa semasa kamu semua halau mereka keluar dari negara sendiri dengan hanya menaiki sampan.” Jelas Yasmir Arafa sambil pandangannya memandang ke arah laut.

“Kami adalah orang yang penuh dengan adat, disiplin dan sopan-santun. Tapi itu tidak bermakna orang-orang kamu boleh pijak kami sesuka hati. Sekali kau cabar kami, kekejaman kami dua kali ganda lebih dahsyat dari orang-orang kamu.” Sambung Yasmir.

“Baik. Aku terima hukuman aku.” Sarjan Dima mengucapkannya dengan nada penuh sesalan. Lalu dia pun bergerak menuju ke arah sampan tersebut. Menolaknya sampai sampan itu boleh terapung di atas air barulah Sarjan Dima naik ke atas sampan dan menggunakan pendayung untuk menggerakkan sampan tersebut.

Semakin dia jauh dari pasir pantai, di hadapan Sarjan Dima. Dia mula terlihat beberapa buah sampan sedang mendayung ke arah yang bertentangan dengan sampan Dima. Sampan-sampan itu dinaiki oleh penduduk tempatan yang mana pihak tentera negara Dima telah menghalau mereka dahulu.

Kini, mereka semua kembali untuk merampas semula tanah air dan hak-hak mereka yang telah dirampas oleh pengganas seperti Dima. Wajah-wajah mereka sudah bersedia untuk berperang. Semakin mereka semua kembali ke permukaan tanah, Sarjan Dima pula semakin kembali ke tengah lautan yang tiada penghujungnya.

Namun, dia tetap terus mendayung mengharapkan agar dia dapat pulang ke negaranya, ke pangkuan ibu bapanya. Kerana dia mahu pulang. Tapi tidak pasti ke manakah hala tuju sampan itu akan membawanya. Sama ada ke negara dosanya atau ke destinasi insafnya yang tidak diketahui. Tidak dapat diketahui apakah yang akan terjadi kepada Sarjan Dima. Semoga dia dapat pulang dengan selamat. Dia juga manusia biasa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s