ANALISIS – FAR CRY 2 DAN FAR CRY 3 (Kekurangan Dan Kelebihan Yang Ada)

Mungkin sudah terlambat untuk penulis tulis mengenai analisis ini. Dengan adanya entri baru dalam francais Far Cry seperti Far Cry 4, Far Cry 5 dan Far Cry: New Dawn. Apa-apa pun penulis tetap nak tulis analisis ini. Persoalannya di sini, kenapa penulis pilih Far Cry 2 dan Far Cry 3? Sebab dua game ini merupakan titik permulaan dalam francais tersebut untuk menjadi dari tak terkenal menjadi terkenal, bertukar dari baik menjadi lebih baik, dan ada juga pengurangan dari yang lama ke baru.

11955-2464500-far-cry-3-far-cry-3-vaas-guerillas

Dua game ini, Far Cry 2 dan Far Cry 3 mempunyai positif dan negatifnya tersendiri. Masing-masing mempunyai kekuatan dan kekurangan. Untuk melihat semula sejarah game ini, kita perlu kembali ke Far Cry 1. Far Cry 1 merupakan entri pertama dalam siri ini, pada asalnya ia bukan dibangunkan oleh Ubisoft, tapi oleh crytek dengan menggunakan CryEngine 1. Pada masa itu, grafiknya biasa sahaja, masih tidak boleh lawan kehebatan grafik Crysis pada masa itu yang mana lima kali ganda lebih cantik.

a0241-fc3-uplay-bannertcm2172964

Far Cry 1 mengambil mekanik gameplay yang sama seperti Crysis 1. Pemain boleh berlegar-legar ke mana sahaja di sekitar pulau dan selesaikan misi mengikut gaya permainan pemain. Namun malangnya, Far Cry 1 terlalu banyak bugs dan glitches sampaikan pemain sukar untuk menyelesaikan misi. Walaupun mekaniknya menarik, tapi ia tidak dilaksanakan dengan baik, sepertimana Crytek lakukan kepada Crysis 1.

Far Cry 2 merupakan entri pertama dalam siri ini yang menggunakan latar belakang dunia sebenar dan dikeluarkan oleh Ubisoft. ‘Dunia sebenar’ yang penulis maksudkan di sini adalah lokasi di Afrika dengan konflik seperti masalah kemiskinan, perang saudara dan pemburuan haram berlian. Game ini juga menggunakan enjin baru iaitu Dunia Engine yang mana Ubisoft bereksperimentasi dengan cahaya, cuaca, persekitaran dan mekanik baru dan api.

far-cry-2-06-1920x1200-1

Dalam Far Cry 2, pemain bermain sebagai seorang pembunuh upahan yang dihantar ke Afrika untuk membunuh Jackal yang disyaki menyediakan bekalan senjata kepada kedua-dua belah pihak UFLL dan APR yang berperang untuk merebut tampuk kuasa di Afrika. Terdapat tema yang diketengahkan di sini di mana perang saudara antara kedua-dua belah pihak tersebut telah menyebabkan penduduk di Afrika dilanda kemiskinan dan menimbulkan ketakutan di kalangan penduduk tempatan sampaikan mereka sanggup membeli pasport palsu untuk melarikan diri dari negara tersebut.

Untuk memburukkan lagi keadaan, UFLL dan APR mengupah pembunuh-pembunuh upahan dari luar negara untuk membantu melakukan kerja-kerja kotor mereka. Bagi sesetengah pembunuh upahan yang tamak, mereka akan gunakan peluang itu untuk meratah setiap berlian yang tertanam di bumi Afrika.

Far-Cry-2-Screenshot-2

Tema dalam Far Cry 2 sangat dekat dengan dunia realiti di mana konflik ini benar-benar wujud seperti peristiwa perang saudara Sierra Leone pada tahun 1991 hingga 2002 di mana konfliknya hampir sama seperti dalam Far Cry 2. Pembaca boleh menonton filem Blood Diamond (2006) arahan Edward Zwick dan dilakonkan oleh Leonardo DiCaprio. Mungkin Ubisoft mengambil inspirasi dari filem tersebut kerana Far Cry 2 dikeluarkan pada tahun 2008.

Bagi Far Cry 3 pula, tema dalam game ini lebih mengetengahkan tentang kuasa mistik, halusinasi, penggunaan dadah berlebihan dan konflik dalaman atau masalah mental antara protagonis dan antagonis dan protagonis itu sendiri. Jason Brody dan rakan-rakannya sedang bercuti di Thailand dan mereka semua diperlawa oleh seorang lelaki yang membenarkan mereka semua untuk mendarat di pulau Rook yang mana mereka boleh lakukan apa sahaja di atas pulau tersebut.

7781b-far-cry-3-jason-brody

Namun, apabila mereka mendarat sahaja di atas pulau tersebut, mereka semua ditangkap oleh lanun-lanun yang diketuai oleh Vaas. Sedang mereka menunggu untuk dijual kepada penjual sebagai seorang hamba, Jason berjaya melarikan diri. Dia perlu bekerjasama dengan penduduk tempatan yang digelar sebagai ‘Rakyat’ dalam misinya untuk menyelamatkan rakan-rakannya.

Penulis melihat Jason Brody sebagai seorang lelaki yang masih buntu tentang arah tuju kehidupannya. Pada awal permainan, Jason seorang yang penakut dan takut untuk mengambil nyawa seseorang. Namun, sepanjang Jason melakukan misinya, dia dilihat seperti semakin seronok membunuh orang. Sampaikan dia tidak mengikut pulang bersama rakan-rakannya dan mahu terus tinggal di situ kerana dia pasti kehidupan di hutan Rook adalah pilihan arah tujunya yang tepat. Sikap Jason juga berubah menjadi seorang yang penting diri, panas baran dan emosi tidak terkawal.

Vaas melihat Jason sebagai refleksi atau bayangan kepada dirinya. Far Cry 3 juga dilihat banyak menggunakan imej simetri, dan imej tersebut bukan sahaja diaplikasikan dalam bentuk lukisan malah di teks juga. Dalam Psikologi, imej simetri dipanggil sebagai Rorschach test (Hermann Rorschach) yang digunakan ke atas pesakit untuk menilai ciri-ciri perwatakan seseorang dari segi emosi. Oleh sebab itu, selepas Jason membunuh Vaas, pada masa itu, Jason telah menjadi seperti Vaas sepenuhnya. Imej simetri yang sama di kiri dan kanan menggambarkan persamaan emosi antara Jason dan Vaas.

Dunia dalam Far Cry 2 kejam, berlawanan dengan Far Cry 3 yang lebih pemurah. Walaupun pemain tidak perlu mengenali karakter seperti dalam Far Cry 3. Namun, tema konflik peperangan saudara, tamak dan pengkhianatan itu diintegrasikan dalam gameplay, walaupun tidaklah sempurna seperti yang diharapkan.

Apa yang membezakan senjata dalam Far Cry 2 dengan Far Cry 3 adalah gun jammed, persekitaran yang kotor dan mencabar di Afrika telah menyebabkan senjata mudah rosak dan berkarat. Walaupun, peminat melihat mekanik sebagai sesuatu yang menyusahkan, tapi sebenarnya ia memberi cabaran dan ketegangan kepada pemain semasa bermain. Ini memaksa pemain untuk lebih peka melihat keadaan senjata dari semasa ke semasa. Apabila gun jammed berlaku, ia akan menghasilkan panik kepada pemain kerana apabila senjata sudah sangat berkarat, senjata akan meletup dan pemain perlu mencari senjata baru atau bertukar ke senjata seterusnya.

Walaupun Far Cry 2 tidak menyediakan sistem upgrade weapons seperti Far Cry 3 dengan menambah attachments seperti suppressor, scope, reflex sight dan sebagainya. Far Cry 2 hanya menyediakan sistem upgrade weapons seperti peningkatan fire accuracy, boleh menyimpan lebih banyak ammo, unlock buku manual dan lain-lain. Kelakar juga kerana pembunuh upahan dalam Far Cry 2 masih perlu membaca buku manual tentang cara menggunakan senapang tersebut sedangkan Jason Brody, seorang lelaki biasa yang tak ada pengalaman menembak boleh mahir menggunakan senjata dalam beberapa saat sahaja.

8fb39-pc_5

 

Ini tidak bermakna senjata dalam Far Cry 3 tidak bagus. Ia masih seronok untuk digunakan, setiap model senjata dimodelkan dengan cantik, warna yang menarik dan juga reload animation yang kemas. Ada kurang, ada lebih. Far Cry 2 tidak ada kebebasan untuk mengubahsuai senjata dan Far Cry 3 tidak ada gun jammed.

Far Cry 3 pula menyediakan sistem player progression di mana pemain boleh meningkatkan keupayaan Jason menjadi lebih kuat, mungkin terlebih kuat seperti super human seperti boleh berenang dengan lebih lama, penambahan nyawa, boleh membunuh lebih dari seorang dengan pantas, berlari tanpa menghasilkan bunyi dan banyak lagi. Nampak macam menarik bukan? Tapi apabila pemain sudah upgrade ke semua abilities Jason, pemain akan berasa bosan kerana terlalu overpower dan dapat kalahkan musuh dengan mudah.

Lain pula dengan Far Cry 2, tidak ada sistem player progression. Dari awal sampai akhir, semuanya bergantung kepada skill dan taktik pemain untuk tewaskan musuh.

Satu mekanik tetap dalam Far Cry ialah Healing system. Perbandingan antara Far Cry 2 dan Far Cry 3 adalah jauh sekali. Dari segi animation, Far Cry 2 menyediakan healing animation yang pelbagai di setiap bahagian pada tubuh badan karakter, walaupun kadang-kadang ianya sangatlah tidak logik. Pemain juga hanya boleh membawa sebanyak 8 medkits dan ia boleh dicari merata-rata tempat. Selain daripada medkits, pemain juga boleh mencari botol air untuk pulihkan nyawa. Pemain juga tidak boleh aktifkan healing animation sesuka hati kerana healing animation akan memakan selama beberapa saat sebelum pemain boleh kembali beraksi. Sebaliknya, pemain mencari tempat berlindung dan barulah boleh aktifkan healing animation.

Oh ya! Karakter dalam Far Cry 2 ada penyakit malaria, dari semasa ke semasa pemain perlu makan ubat pil. Pil tersebut boleh habis pada bila-bila masa. Untuk mendapatkan ubat baru, pemain perlu lakukan misi sampingan dengan menghantar pasport palsu kepada penduduk tempatan, sebagai ganjaran, mereka akan berikan ubat baru kepada pemain. Bagi penulis, konsep malaria ini unik kepada Far Cry 2 sahaja kerana Ubisoft mahu menggambarkan keadaan kawasan Afrika yang kotor dan tidak sihat serta mencabar. Jika mekanik ini digunakan dalam Far Cry 3, ia mungkin agak janggal kerana pulau Rook bagi penulis boleh dikatakan cantik dan bersih.

Manakala, Far Cry 3 pula hanya menyediakan healing animation yang sedikit, merangkumi bahagian tangan sahaja. Pemain boleh membawa medkits sebanyak 12, tapi pemain juga perlu melakukan pengurusan untuk membahagikan berapa banyak medkits yang perlu dibawa dan berapa banyak syringe herbs yang boleh bawa. Pemain masih mencari medkits seperti biasa, tapi pemain boleh craft medkits on-the-go dengan menggunakan tumbuh-tumbuhan. Selain daripada medkits, pemain boleh craft herbs syringe, setiap syringe tersebut mampu memberikan kebolehan luar biasa kepada pemain.

Dari segi HUD (Heads Up Display), Far Cry 2 menggunakan HUD yang minimal dengan hanya memaparkan nyawa dan ammo senjata. Untuk map, pemain perlu membuka sendiri untuk melihatnya secara manual. Semasa memandu juga, pemain perlu membuka map sambil memegang stereng, pemain perlu lakukan dua kerja iaitu sambil memandu kena juga lihat map.

Manakala, Far Cry 3 menggunakan HUD dengan menyediakan mini map yang dipaparkan pada skrin. Tapi, untuk melihat map dengan lebih besar dan jelas, pemain perlu pause game untuk melihatnya. Di sini dapat dilihat perbezaannya di mana Far Cry 2 tidak menggunakan banyak pause semasa dalam permainan kecuali semasa fast travel dan settings. Tapi dalam Far Cry 3, pemain perlu pause dari semasa ke semasa untuk melihat map, fast travel dan juga semasa mencipta syringe. Ini sedikit sebanyak mejejaskan immersion dalam permainan.

Binocular untuk kedua-dua game ini juga befungsi dengan cara berbeza. Binocular Far Cry 2 membenarkan pemain untuk tag ammo crates dan kenderaan. Tapi Far Cry 3 membenarkan pemain untuk tag musuh dan musuh yang di-tag akan dipaparkan pada skrin untuk memudahkan pemain mengesan mereka. Sementara Far Cry 2 bergantung sepenuhnya kepada skill dan instinct pemain.

8d91f-dwm_2012_12_31_18_34_57_73

Menyentuh mengenai fast travel, Far Cry 2 menyediakan mekanik fast travel yang logik berbanding Far Cry 3 kerana untuk fast travel dalam Far Cry 2, pemain perlu pergi ke stesen bas untuk bergerak ke lokasi dikehendaki. Fast travel dalam Far Cry 3 pula adalah seperti fast travel kebanyakan game sekarang di mana pemain hanya perlu buka map dan tekan pada mana-mana lokasi yang pemain hendak pergi.

Untuk main missions dan side missions, Far Cry 2 menyediakan misi utama dan misi sampingan yang mana merangkumi misi-misi seperti membunuh VIP tertentu, musnahkan bahan-bahan letupan, hentikan konvoi dan membantu menghantar pasport palsu kepada penduduk tempatan. Misi seperti capturing enemy outposts juga agak berlainan dengan Far Cry 3 kerana dalam Far Cry 2, jika pemain berjaya mengawal outpost tersebut dan kembali semula ke outpost tersebut selepas beberapa jam, musuh akan kembali mengawal semula outpost itu.

1771f-fc7

Ini berlawanan dengan outpost dalam Far Cry 3 di mana setelah pemain berjaya mengawal outpost, outpost tersebut akan kekal di bawah kawalan pejuang ‘Rakyat’. Tapi apa yang tidak seronoknya adalah apabila outpost berjaya ditawan, setiap musuh yang berlegar-legar dalam kawasan map tersebut akan hilang. Dan ini sedikit sebanyak menghilangkan rasa mode survival yang dibawakan oleh Far Cry 2. Memang tujuan sebenarnya adalah untuk memudahkan perjalanan pemain dari satu tempat ke satu tempat tanpa sebarang halangan dari pihak musuh. Tapi bagi penulis, map akan menjadi kosong dan ‘sense of danger’ akan hilang dengan ketiadaan pihak musuh.

Tidak ada meter etika atau moral semasa bermain, pemain bebas memilih misi sama ada di pihak UFLL atau APR, jika pemain berjaya laksanakan misi, reputasi pemain akan naik dan lebih ramai pembunuh upahan mahu membunuh pemain. Namun, lama-kelamaan setiap misi dalam Far Cry 2 menjadi repetitif dan tidak ada perbezaan di antara misi utama dan side mission.

Tapi apa yang bagusnya, Far Cry 2 tidak menyekat kebebasan pemain untuk lakukan mana-mana misi yang pemain mahu. Pemain boleh keluar dari kawasan misi utama jika pemain mahu. Tidak seperti Far Cry 3 di mana jika pemain keluar dari kawasan yang ditetapkan semasa melakukan misi utama, pemain akan diberikan amaran misi akan gagal jika keluar dari kawasan misi. Penulis sangat tidak suka mekanik ini kerana ia sangat berlawanan dengan sifat ‘open-world’ itu sendiri.

39576-far-cry-3-burn

Terdapat sembilan karakter yang pemain boleh pilih dalam Far Cry 2, pilih satu dan karakter-karakter lain akan menjadi NPC atau buddies. Buddies ialah sebuah sistem baru yang diperkenalkan dalam Far Cry 2. Ia berfungsi sebagai untuk membantu pemain ketika dalam kesusahan dan untuk membuka side missions baru. Di sesetengah outposts, pemain boleh selamatkan tahanan yang ditahan, tahanan yang diselamatkan itu akan menjadi kawan pemain. Dia akan memberikan misi sampingan dan boleh membantu pemain jika pemain sudah hampir mati. Tapi jika buddies pemain pula yang tumpas, pemain mempunyai pilihan sama ada untuk selamatkan atau matikan dia.

Hidup dan mati setiap buddies ini akan memberi kesan kepada akhir jalan cerita kerana ia ada kaitan dengan pengkhianatan dan perebutan berlian yang dijumpai. Bagi penulis, walaupun mekanik adalah sesuatu yang bagus, namun ia tidak dilaksanakan dengan sempurna. Tidak ada karakter in-depth untuk setiap buddies untuk mengenali mereka dengan lebih lanjut. Mereka hanya muncul ketika pemain dilanda musibah, pemain tidak boleh membawa mereka melakukan misi.

Namun dari segi latar dan tema, ia agak bersesuaian dengan pengkhianatan dan tamak. Ia juga mengajar pemain untuk tidak mempercayai sesiapa pun dan juga ‘sense of loneliness and under-power’ di mana walau dalam apa jua situasi pun, pemain akan sentiasa bersendirian dan tidak ada kuasa untuk menghalang semua.

7781b-far-cry-3-jason-brody

Berlawanan dengan Jason Brody yang mempunyai bantuan pejuang ‘Rakyat’ di belakangnya (masih tidak berguna juga) dan boleh tumpaskan beratus-ratus musuh dengan kuasa tatunya.

Walau bagaimanpun, Far Cry 3 menyediakan side missions yang lebih menarik dan tidak tertumpu hanya kepada misi membunuh VIP. Terdapat side missions seperti memburu binatang, mencari tumbuh-tumbuhan tertentu, perlumbaan dan mini game seperti poker. Walaupun dari segi logiknya, untuk sebuah pulau yang dipenuhi dengan lanun, agak bahaya untuk lakukan perniagaan. Tapi ia masih sebuah pengalaman yang menarik. Far Cry 2 tidak menyediakan misi-misi menarik seperti perlumbaan dan lain-lain kerana latarnya adalah berkaitan dengan konflik perang saudara.

Dari segi world, walaupun Afrika sebuah lokasi menarik tapi ia tidak dilaksanakan dengan baik kerana dunia Far Cry 2 kosong. Tidak ada binatang liar yang pelbagai, hanya ada kuda Zebra dan rusa. Tidak ada kawasan-kawasan yang ada perkampungan tempatan, walaupun dalam plot, dikatakan sudah ramai penduduk tempatan keluar dari Afrika. Tapi NPC masih diperlukan dalam open-world game, Ubisoft juga terlepas peluang untuk gunakan peluang yang ada untuk jelaskan tentang kesengsaraan yang dialami oleh penduduk tempatan yang disebabkan oleh perang saudara. Jika Ubisoft mahu fokus kepada tema perang saudara itu sendiri.

Berbanding dengan Far Cry 3, dunianya lebih luas dan cantik untuk dilihat, daripada hutan sehinggalah ke kawasan pergunungan dan pantai. Terdapat juga pelbagai jenis binatang liar yang tidak merbahaya dan juga merbahaya yang boleh menyerang pemain. Tumbuh-tumbuhan juga lebih menarik untuk dilihat. Kawasan perkampungan yang pelbagai dan ada NPC. Terdapat juga kawasan-kawasan misteri tinggalan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua yang boleh diterokai dan mempunyai ceritanya tersendiri. Apa-apa pun, dunia Far Cry 3 lebih menarik dari Far Cry 2.

35935-cenote_kick_no_logo_gold-1353527040

Melihat kepada grafik pula, walaupun Dunia Engine pertama yang digunakan dalam Far Cry 2 sudah lapuk, tapi terdapat beberapa aspek kecil yang menonjol yang telah diabaikan dalam grafik Far Cry 3 seperti efek api. Efek api dalam Far Cry 2 fungsi sama seperti Far Cry 3 iaitu boleh merebak sejauh mana yang ia boleh. Tapi apa yang membezakannya dengan api Far Cry 3 adalah warna dan animation fire spread lebih kemas dan cantik berbanding Far Cry 3. Pokok yang mempunyai ranting-ranting kecil boleh dimusnahkan dalam Far Cry 2 dan objek-objek nipis seperti kayu dan besi boleh ditembusi oleh peluru.

Tapi Far Cry 2 kalah kepada Far Cry 3 dari segi penggunaan warna. Dunia Far Cry 2 terlalu kelabu, gelap, coklat, dan oren. Ia seakan-akan seperti apabila Mexico berada dalam sebuah filem Hollywood yang menggambarkan Mexico dengan filter muram dan gritty. Ubisoft mungkin mahu menggunakan warna-warna tersebut sebagai untuk menunjukkan Afrika sebagai sebuah tempat yang bahaya dan ganas. Tapi sebenarnya penggunaan warna yang sebegitu tidak perlu pun digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang ganas dan bahaya.

Penggunaan warna dalam Far Cry 3 lebih menarik dan pelbagai serta cerah, sesuai dengan lokasinya sebagai sebuah pulau tropika yang cantik. Namun di sebalik warna-warna yang cerah itu ada buruknya seperti kegilaan mental, ganas, kekejaman, bahaya dan misteri. Efek air dalam Far Cry 3 juga cantik untuk dilihat dan kadangkala penulis bermain Far Cry 3 berkali-kali bukan hanya sebab plot dan gameplay-nya, tapi kerana dunianya yang menarik dan cantik untuk dilihat.

Sistem cuaca dalam Far Cry 3 hanya menyediakan cuaca hujan namun bagi penulis, efeknya hanya biasa sahaja. Tapi dalam Far Cry 2, cuaca yang disediakan adalah cuaca yang berangin kuat, di sini dapat dilihat kekuatan Dunia Engine pertama dalam melancarkan pergerakan angin yang mana apabila ia mengenai pokok-pokok, setiap daun akan berterbangan mengikut arah angin dan ini juga agak menarik untuk dilihat.

95634-far-cry-3-hangglider

Untuk muzik, efek bunyi dan lakonan suara. Far Cry 3 lebih menonjol dari Far Cry 2 kerana lagu-lagu dalam Far Cry 3 lebih memorable. Manakala, lakonan suara dari karakter Vaas tidak mudah dilupakan. Efek bunyi dari senjata dan lain-lain lebih kuat dan jelas berbanding Far Cry 2.

Kesimpulannya, Far Cry 2 dan Far Cry 3 ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Dari segi plot dan tema, Far Cry 2 lebih ke arah tema perang saudara dan perebutan kuasa. Manakala, Far Cry 3 lebih kepada pergelutan konflik dalam diri protagonis. Namun, penyampaian plot Far Cry 3 disampaikan dengan lebih jelas dan menarik berbanding Far Cry 2. Far Cry 2 lebih mementingkan ‘sense of loneliness and under-power’ di mana pemain perlu menggunakan apa sahaja skill dan taktik yang ada dan perlu bergantung sepenuhnya kepada instinct pemain untuk tumpaskan musuh. Berlawanan dengan Far Cry 3 di mana ia mementingkan ‘sense of overpower’ di mana pemain boleh lakukan gerak-geri luar biasa dengan menggunakan kuasa tatu dalam menumpaskan musuh.

Far Cry 2 lebih kepada survival feeling. Far Cry 3 lebih kepada arcade feeling. Pilihan di tangan pemain.

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s