Pen, Pensil dan Buku Nota

Pencils on a blank notebook

Pada waktu petang yang cerah, burung-burung terbang bebas tanpa perlu memikirkan masalah di sekelilingnya. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa bertemu dengan manusia untuk menyejukkan suhu di tubuh badan mereka. Manusia itu dapat merasa kesejukkan dari tiupan angin lembut itu yang telah dihantarkan oleh-Nya kepada umat yang masih mengingati-Nya.

Dan manusia itu adalah seorang lelaki tua yang berusia dalam lingkungan 80 tahun. Bertongkat, berkaca mata, berbaju kemeja, berseluar slack, memakai kasut dengan reka bentuk seperti pada tahun 1980. Wajah lelaki itu sudah nampak kelihatan kedutan-kedutan layu bak daun-daun di ranting-ranting pokok yang berwarna pudar, menunggu masa untuk jatuh ke bawah dan ditenggelamkan ke dalam tanah dan berjumpa dengan-Nya.

Lelaki tua itu sedang berjalan perlahan-lahan dengan tongkat berkaki empatnya untuk menuju ke taman permainan yang tidak jauh dari rumahnya. Lelaki tua itu berjalan sambil menikmati pemandangan matahari yang indah di waktu petang dengan kanak-kanak sedang bermain dengan penuh gembira dan riang di taman permainan. Apabila lelaki tua itu berada di taman permainan, dia mencari kerusi kayu yang berdekatan dengannya. Dia duduk sambil menyandarkan badannya ke tempat penyandar kerusi, dia menarik nafas udara segar dengan lega.

Lelaki tua itu sekali lagi memandang ke arah kanak-kanak yang sedang bermain-main di taman permainan. Budak lelaki menaiki buaian setinggi awan. Lima orang budak bermain gelongsor secara bergilir-gilir. Dua budak lelaki bergayut di Monkey Bar, budak perempuan juga tidak mahu ketinggalan, tidak mahu kalah untuk mencuba bergayut di palang-palang besi tersebut. Dan tidak lupa juga kepada kanak-kanak yang sedang bermain jongkang-jongkit dan tangga berpalang.

Tapi lama-kelamaan senyuman dari lelaki tua itu tiba-tiba sahaja bertukar muram seperti sungai air tawar. Ibu jari dan jari telunjuk di tangan kanannya perlahan-lahan menyentuh bingkai cermin matanya lalu dikeluarkan dari pandangan matanya yang sebenar. Anak matanya berkedip berkali-kali, wajahnya kelihatan lebih muram lagi. Dari pandangan matanya, dia seperti berada di dunia lain. Tadi berwarna, kini hitam putih. Keadaan di sekelilingnya semuanya berwarna hitam dan putih. Burung-burung yang terbang tadi kini sudah tiada. Awan mendung mula kelihatan. Matahari sudah hilang dari pandangannya.

Kanak-kanak yang sedang bermain dengan penuh riang tadi tiba-tiba bertukar senyap seperti tiada satu suara pun yang keluar dari buah bibir setiap anak-anak kecil itu. Apa yang kanak-kanak di taman permainan itu lakukan hanyalah duduk diam, tidak bertegur sapa, kepala masing-masing memandang ke bawah. Khusyuk melihat ke sebuah alat gajet yang dipanggil sebagai tablet.

Lelaki tua itu masih bermuram, namun, untuk mengembirakan hatinya. Dia perlahan-lahan mengeluarkan sebatang pensil dan pen dan satu buku nota bersaiz kecil dari poket seluarnya. Di dalam buku notanya, terdapat banyak catatan tentang dirinya di masa lampau. Dan juga terdapat banyak cerita pendek yang dikarang sendiri olehnya. Jadi buku nota lelaki tua itu mempunyai dua dalam satu kandungan. Diari dan cerpen.

Dia mula membelek helaian muka surat di buku notanya untuk mencari satu helaian kosong supaya dia boleh menulis apa yang dia lihat pada hari ini. Satu helaian kosong sudah jumpa, lelaki tua itu pun mula menulis dengan menggunakan pen dan dalam masa yang sama dia juga menggunakan pensil untuk membuat lakaran di atas kertas buku notanya yang mana kulit buku tersebut berwarna putih.

Sedang lelaki tua itu khusyuk menulis tanpa menghiraukan keadaan di sekelilingnya. Sehingga beberapa minit kemudian, seorang budak perempuan menghampiri lelaki tua.

“Pak cik buat apa tu?” Tanya budak perempuan yang berumur dalam lingkungan sepuluh tahun itu.

“Pak cik tengah menulis ni.” Balas lelaki tua itu sambil matanya memandang ke arah wajah budak perempuan yang masih tersenyum manis.

“Tapi pak cik pakai apa untuk menulis tu. Saya tak pernah nampak pun.” Jawab budak perempuan dengan wajah keliru.

“Kesian kamu. Zaman pak cik dulu, semua orang tulis pakai alat yang pak cik guna ni.”

“Alat apa yang pak cik guna tu?” Tanya budak perempuan itu sambil matanya memandang ke arah pen dan buku nota milik lelaki tua itu.

“Ini dipanggil pen dan lagi satu pensil. Yang tebal ni dipanggil buku nota. Dalam buku ni lah pak cik selalu tulis kisah-kisah hidup pak cik.”

“Macam susah jer nak guna. Macam berat jer nak bawa buku tebal tu. Baik saya bawa tablet saya, ringan. Untuk menulis pun senang, pakai jari jer.”

“Tapi ‘rasa’ tulis pakai pen dengan tulis pakai jari lain tau adik.”

“Lain macam mana tu pak cik?”

“Pakai pen, adik akan dapat ‘pegang’ tulisan adik kat kertas buku. Dan lagi satu, bila dakwat biru ni keluar dari pen, pak cik dapat rasakan satu ’kepuasan’ yang pak cik tak pernah gambarkan.” Lelaki tua itu menunjukkan kepada budak perempuan itu tentang kepuasan menggunakan pen dengan menulis satu perkataan di buku notanya.

“Wow! Hebatnya! Boleh saya cuba?” Kelihatan wajah budak perempuan sangat teruja untuk mencuba pen dan menulis di atas buku nota milik lelaki tua itu.

“Boleh. Tapi sebelum tu. Boleh pak cik ceritakan tentang kisah hidup pak cik?”

“Wah! Cerita! Saya suka! Saya suka!”

“Mari, duduk kat sebelah pak cik.” Lalu budak perempuan itu pun duduk bersama di sebelah lelaki tua tersebut. Matanya sudah mula tertumpu ke arah wajah lelaki tua. Keterujaan dan rasa tidak sabar untuk mendengar cerita yang akan keluar dari buah bibir lelaki tua itu.

“Ok, pak cik mulakan masa pak cik umur sebaya macam kamu. Masa hari jadi pak cik yang ke sepuluh. Arwah ayah pak cik bagi hadiah kepada pak cik dua batang pen dan pensil. Arwah mak pak cik pula hadiahkan buku nota yang sampai sekarang pak cik gunakan.”

“Lamanya pak cik guna. Macam mana boleh bertahan sampai sekarang?”

“Panjang ceritanya tapi biar pak cik ceritakan.”

“Boleh dikatakan pak cik memang seronok dengan pemberian hadiah dari mak dan ayah pak cik. Pak cik dari kecil memang minat menulis, tulis cerita, karangan, pantun, sajak, semua pak cik tulis dalam buku nota ni. Setiap hari tangan pak cik memang gatal nak tulis cerita baru. Masa sekolah rendah dulu, pak cik memang dapat keputusan cemerlang dalam subjek Bahasa Malaysia.”

“Oooo. Mana pak cik dapat idea-idea tu?”

“Pak cik lihat apa yang pak cik nampak di sekeliling. Pak cik pun mula menulis.”

“Macam susah jer.”

“Tak adik, senang jer. Cerita ni boleh jadi tentang apa saja, pengalaman, fiksyen dan macam-macam lagi. Contoh, hari ni adik main kat taman permainan, ceritakan balik apa yang adik main dalam bentuk tulisan. Kalau adik nak cipta dunia khayalan adik sendiri pun boleh.”

“Boleh!?”

“Boleh. Semuanya bergantung kepada imaginasi adik. Berbalik kepada cerita pak cik tadi. Pak cik gunakan pen, pensil dan buku nota tu dari sekolah rendah sampailah ke sekolah menengah. Kalau dakwat pen habis, pak cik beli kat kedai. Kalau helaian muka surat kat buku nota pak cik habis, pak cik akan tambah sendiri kertas-kertasnya.” Ujar lelaki tua itu. Budak perempuan itu menajamkan telinganya untuk mendengar cerita.

“Pak cik dapat masuk universiti, walaupun dah banyak alat tulis pak cik beli, pak cik tetap gunakan pen dan pensil ni. Pak cik ambil kursus pengurusan pejabat kat universiti masa tu. Yuran pengajian pak cik bayar sendiri, jadi pak cik hantar hasil karya pak cik kat syarikat-syarikat penerbitan, sambil tu pak cik kerja sambilan kat restoran.”

“Pak cik memang seorang yang rajin.” Puji budak perempuan itu.

“Biasalah adik, pak cik ni bukan orang senang. Nak dapat sebuah buku masa dulu pun dah susah. Jadi pak cik pun berjaya tamatkan pengajian kat universiti tu. Seminggu selepas majlis graduasi, pak cik mula cari kerja kat merata tempat.”

“Pak cik dapat kerja yang pak cik nakkan?”

“Malangnya tak adik, dengan ekonomi masa tu makin teruk, susah nak dapat kerja dalam bidang pak cik. Semua syarikat nakkan pengalaman kerja tiga hingga lima tahun dalam bidang berkaitan. Pak cik baru keluar dari universiti masa tu, kenapalah mereka tak bagi peluang kepada pak cik untuk buktikan kepada mereka apa kemampuan yang pak cik boleh buat. Tapi itu cerita dulu.”

“Kesian pak cik.” Kata budak perempuan itu dengan nada sedih.

“Biasalah adik, nak hidup kena tempuh susah dulu baru dapat senang. Tapi tuhan tak pernah lupakan pak cik, setiap hari pak cik berdoa sebab pak cik yakin rezeki tu ada di mana-mana. Masa tu pak cik tak kisah dah, pak cik terima apa saja jenis kerja, asalkan benar.”

“Dan akhirnya pak cik dapat kerja.”

“Ya! Pak cik dapat kerja kilang kat syarikat pembuatan pen yang kebetulan jenama sama yang pak cik masih guna. Selama sepuluh tahun pak cik kerja di situ, akhirnya barulah pak cik dapat naik pangkat. Tapi tak lama.”

“Kenapa?”

“Teknologi makin canggih masa tu. Telefon pintar, tablet dan macam-macam lagi dicipta pada masa tu. Sampaikan orang dah kurang beli majalah, buku komik, surat khabar, novel, semua yang bersifat fizikal orang dah kurang guna. Semuanya baca kat telefon pintar. Alam maya.” Ujar lelaki tua itu sambil memegang pennya.

“Lebih malang, syarikat yang pak cik kerja tu dah mula bankrap. Bukan syarikat tu saja, syarikat yang keluarkan alat tulis yang lain pun turut terkena tempias, gulung tikar. Sebab masa tu orang semua menulis kat alat gajet-gajet kecil tu. Sekolah-sekolah pun dah tak guna buku tulis, segala jenis urusan guna tablet. Akhirnya pak cik dan pekerja-pekerja lain terpaksa meninggalkan syarikat yang dah mati tu. Tapi pak cik tak pergi dengan tangan kosong, sebelum pak cik keluar, pak cik ambil tiga bakul batang dakwat pen supaya pak cik boleh terus gunakan pen pemberian arwah ayah pak cik.” Sambung lelaki tua itu.

“Pak cik tak seronok ke dengan teknologi yang kita guna sekarang?” Tanya budak perempuan itu.

“Pak cik hargai. Tapi pak cik rasakan teknologi gajet tu sedikit sebanyak memakan diri kita. Kita dah jadi pentingkan diri sendiri, tak hiraukan keadaan sekeliling, semua dengan hal masing-masing. Contoh yang paling dekat, kamu tengok kat depan kamu tu. Semua pandang ke bawah, tak main pun alat permainan yang disediakan. Kalau zaman pak cik dulu, jumpa jer taman permainan, memang riuh suara kami, main gasing, main layang-layang. Agaknya budak-budak sekarang tak tahu apa itu gasing.” Ujarnya.

“Wah! Bestnya zaman pak cik! Saya tadi rasa bosan sangat main buaian sendiri jer, tak ada kawan, yang lain semua sibuk main game. Sebab tu bila saya nampak pak cik pegang alat ni, saya pergi dekat pak cik sebab saya nak tahu.”

“Kesian kamu. Gajet-gajet ni tak salah kalau nak guna, yang salah cara kita menggunakannya yang terlebih had. Kita kena tahu batasan, jangan sampai hilang sifat kemanusiaan kita. Apa saja yang kita lakukan dalam dunia ni ada batasannya. Tak boleh kurang, tak boleh lebih, kena seimbang.”

“Saya… Tak faham pak cik tentang seimbang tu.”

“Tak mengapa, kamu kecil lagi sekarang. Bila kamu dah besar nanti kamu akan faham. Buat masa sekarang kamu berseronoklah dengan zaman kanak-kanak kamu sebab nanti bila dah besar dah tak boleh ulang balik masa lalu.”

“Baiklah pak cik.”

“Mungkin ini bukan zaman pak cik, ni zaman kamu adik. Zaman pen, pensil dan buku dah berakhir. Sekarang zaman ‘sentuhan jari di skrin pintar’. Pak cik tak boleh nak halang kemajuan evolusi manusia. Manusia perlu terus mara untuk maju. Tapi, adakah kemajuan tu akan membuatkan kita lebih bertamadun?”

“Pak cik, sambunglah cerita tadi.”

“Apa? Uhuk! Uhuk! Pak cik rasa tak larat la. Sambung esok boleh?” Jawab lelaki tua itu sambil terbatuk-batuk.

“Ala, pak cik, sambung la.” Rayu budak perempuan itu.

“Macam ni. Pak cik baru teringat tadi yang pak cik kena ajar kamu macam mana nak gunakan pen ni. Cerita tu pak cik sambung esok, boleh?”

“Boleh, boleh.”

“Ok, kamu pegang pen ni macam ni. Lepas tu cuba tulis atas buku nota ni.”

Maka, lelaki tua itu pun mengajarkan kepada budak perempuan itu bagaimana cara menggunakan pen dan pensil. Budak perempuan itu begitu teruja apabila kali pertama dia memegang dan menulis dengan menggunakan sebatang pen dan pensil yang mana dia tidak pernah lihat sebelum ini. Sehingga pukul enam, barulah budak perempuan itu berhenti menulis. “Bagus. Kamu dah boleh bina sebuah cerita. Kamu memang cepat belajar macam kamu dah selesa pegang pen tu.” Puji lelaki tua itu.

“Hehe. Terima kasih pak cik.”

“Pak cik rasa kamu patut balik rumah sekarang, nanti mak ayah kamu risau pula.”

“Kalau macam tu saya pergi dulu.”

“Eh tapi sebelum kamu pergi. Buka dua tapak tangan kamu.”

“Pak cik nak buat apa?” Budak perempuan itu membuka dua tapak tangannya di hadapan lelaki tua tersebut.

“Pak cik nak bagi kamu ni.” Lelaki tua itu memberikan pen, pensil dan buku nota miliknya kepada budak perempuan itu.

“Tapi, ni pak cik punya. Saya tak boleh terima.”

“Kamu ambil. Kamu dah bersedia untuk gunakannya. Kamu sambunglah kisah hidup kamu dalam buku nota ni. Ciptalah fantasi kamu, reka cerita kamu. Lagipun kisah hidup pak cik dah sampai penghujungnya.”

“Pak cik ok ke?”

“Pak cik tak apa-apa. Uhuk! Kamu pergilah.”

“Terima kasih pak cik.” Maka budak perempuan itu berlalu pergi meninggalkan lelaki tua itu berseorangan. Budak perempuan itu sangat gembira dengan pemberian hadiah dari lelaki tua tersebut.

Satu per satu kanak-kanak balik ke rumah ibu bapa mereka masing-masing. Lelaki tua itu masih berada di taman permainan, masih terduduk di situ. Sehinggalah lelaki tua itu mengeluarkan cermin mata lalu memakainya semula.

Dunia yang hitam putih kembali berwarna. Kanak-kanak kembali riang bermain di taman permainan. Matahari kembali bersinar cahaya, awan mula kelihatan biru dan putih. Senyuman kembali terukir di bibirnya. Dia mula terkenangkan kembali zaman kanak-kanaknya. Wajah arwah ibu dan ayahnya. Sedang dia tersenyum, roh lelaki tua itu keluar dari jasadnya lalu naik ke atas langit. Dia pergi meninggalkan dunia ini. Tapi dia tidak meninggalkannya begitu sahaja, budak perempuan itu akan terus menyambung legasinya.

 

Advertisements

Ulasan – SPEC OPS : THE LINE

2268428-spec_ops_the_line_wallpaper

Adakah anda rasa seperti seorang wira? Jawapannya ada di dalam game Spec Ops : The Line. Game ini ialah third-person shooter yang telah dikeluarkan oleh Yager Development dan 2k Games pada Jun 2012 untuk pelantar Xbox 360, PS3 dan PC. Game ini juga merupakan siri reboot dari siri Spec Ops.

Apa yang membuatkan Spec Ops : The Line ini menarik ialah jalan ceritanya mengambil inspirasi dari novel Joseph Conrad bertajuk Heart of Darkness dan filem Apocalypse Now. Serius penulis katakan, game ini memang menguji emosi dan psikologi pemain kerana game ini akan mendedahkan keburukan dan kesan peperangan terhadap nyawa manusia yang tidak bersalah.

Jalan cerita Spec Ops : The Line mengisahkan tentang tiga orang askar Delta Force iaitu Captain Martin Walker, Sergeant Lugo dan Lieutenant Adam yang dihantar ke Dubai selepas mereka menerima signal radio dari Colonel John Konrad yang merupakan ketua batalion tentera U.S. yang digelar sebagai Damned 33rd. Dubai pada masa itu telah dilanda ribut pasir yang amat teruk. Semasa mereka bertiga melakukan misi untuk menyelamatkan batalion Damned 33rd dan penduduk tempatan, terdapat banyak perkara-perkara ngeri dan keganasan yang melampau sepanjang perjalanan mereka.

bux1ak

Apa yang cuba disampaikan dalam game Spec Ops: The Line ialah tentang seorang askar yang menghidapi penyakit mental iaitu PTSD atau Post-Traumatic Stress Disorder di mana mangsa mengingati atau mengalami semula peristiwa pahit yang mereka pernah alami dulu seperti kemalangan kereta, terkena letupan bom atau terjatuh ke dalam gaung.

Dan askar yang mengalami PTSD itu ialah Captain Walker, protagonis dalam game ini. Captain Walker selalu menyanjung tinggi Colonel John Konrad kerana lelaki itu pernah menyelamatkan Walker semasa dia berkhidmat di Kabul, Afganistan. Apabila ribut pasir melanda Dubai, Kolonel dan batalionnya secara sukarela setuju untuk menjalankan operasi menyelamatkan penduduk Dubai. Tapi malang, operasi tersebut gagal dan selepas enam bulan, barulah cerita Walker bermula selepas dia mendapat signal radio itu.

Pada permulaan permainan, anda akan berjumpa dengan penduduk tempatan yang memberontak dan cuba untuk membunuh anda. Semakin anda maju, semakin banyak perkara berlaku di luar kawalan yang melibatkan peperangan antara CIA dan Damned 33rd. Dan semakin anda mara, semakin banyak jenayah perang yang anda lakukan. Anda ada pilihan untuk mengelak perkara buruk itu dari berlaku, tetapi tindakan Captain Walker yang membuatkan anda tiada pilihan.

spec_ops_the_line_1

Jika di permulaan, anda akan lihat Captain Walker ialah seorang askar yang berdisiplin. Namun selepas dia menyerang kem tentera Damned 33rd yang meragut banyak nyawa selepas dia menggunakan White Phosphorus (sejenis bahan letupan yang menyebabkan mangsa dibakar hidup-hidup). Apa yang lebih mengejutkan, kem tersebut ada orang awam yang mana objektif utama Captain Walker dan pasukannya ialah untuk menyelamatkan orang awam. Penulis mula berkata “Mission failed!” Tapi tidak! Walker tetap teruskan perjalanannya walaupun dia tahu misinya sudah gagal. Dan tetap mara dan membunuh beribu-ribu tentera Damned 33rd yang juga sepatutnya dia selamatkan. Dan pada masa ini, anda akan lihat perubahan tingkah laku Walker berubah daripada seorang yang berdisiplin kepada seorang yang tidak berperikemanusiaan.

hxtru

Apa yang lebih teruk lagi dia mula mendakwa Colonel Konrad yang melakukan semua keganasan di Dubai dan membantu pihak CIA untuk merampas sumber air yang mana menjadi punca utama kelangsungan hidup warga Dubai dan tentera Damned 33rd. Tindakan Walker telah meragut nyawa pasukannya.

Akhirnya, kebenaran dapat diketahui apabila selama ini percakapan Walker dengan Konrad melalui radio hanyalah mainan minda Walker. Colonel John Konrad sudah lama mati, ketaksuban Walker terhadap Konrad membuat Walker boleh melihat dan bercakap dengan orang yang sudah mati. Walker terlalu obses dengan Konrad kerana semasa di Afganistan dulu, Konrad pernah digelar sebagai hero. Dan kehadiran Walker di Dubai ialah kerana Walker mahu menjadi seperti Konrad. Seorang hero. Di dalam dunianya sendiri.

Terdapat empat ending. Sama ada Walker hidup atau mati. Tapi pada pendapat penulis, ending di mana Walker mati adalah lebih baik kerana Walker terima segala kesalahan dan jenayah yang di sudah lakukan di Dubai. Tapi, jika dia hidup, bermakna Walker hidup dalam penipuan dan penuh dengan dosa perangnya. Jika Walker hidup, tentera U.S akan datang untuk menyelamatkan Walker. Tapi anda ada pilihan sama ada bunuh tentera tersebut atau ikut mereka.

maxresdefault

Dari segi gameplay, Spec Ops: The Line menggunakan formula third-person shooter yang sama seperti game lain. Anda berlindung di belakang objek (cover) dan tembak. Anda boleh berikan arahan kepada pasukan, Adam sesuai untuk tugasan membaling bom, manakala Lugo sesuai untuk tugasan sniper.

Terdapat beberapa jenis senjata seperti M4A1, SCAR-H, AK-47, FAMAS dan banyak lagi serta tiga jenis bahan letupan. Grenade, flashbang dan sticky grenade. Setiap senjata ada attachment atau secondary fire masing-masing seperti M4A1 silencer, SCAR-H grenade launcher, AK-47 fire modes, FAMAS with ACOG scope dan banyak lagi.

Anda boleh menggunakan melee attack kepada musuh, tetapi mereka tidak mati. Sebaliknya mereka akan terbaring sambil menjerit kesakitan. Di sini anda boleh lakukan special execute terhadap musuh yang tinggal nyawa-nyawa ikan. Setiap jenis senjata berlainan execute dan Walker melakukannya dengan amat ganas. Pasir tidak diletakkan di dalam game ini tanpa ada fungsi, ia boleh digunakan sebagai senjata dengan membutakan pihak musuh.

Pada bahagian grafik pula, game ini menggunakan Unreal Engine iaitu enjin sama yang digunakan oleh siri Gears of War. Pada pendapat penulis, grafiknya bagus. Tapi satu yang patut diberikan pujian di sini ialah level design, setiap lokasi dalam setiap misi sangat menarik dan pemandangan Dubai dilanda ribut pasir sangat cantik dan dalam masa yang sama sangat menakutkan.

spec-ops-the-line-unlocker_1

Penggunaan muzik latar juga bagus, menggunakan muzik rock mampu membuatkan pemain berasa seronok membunuh tentera Damned 33rd tanpa sedar yang sebenar pemain sedang melakukan jenayah perang. Ada juga runut bunyi yang membuatkan kita rasa bersalah atas tindakan kita.

Dapat disimpulkan di sini, Spec Ops: The Line ialah sebuah game yang unik dari segi penceritaan kerana ia menceritakan kisah sebenar kesan peperangan terhadap manusia dan kesan peperangan yang meninggalkan luka yang gelap ke dalam minda seorang askar. Kalau Call of Duty anda boleh merasa seperti seorang hero, dalam game ini anda bukanlah hero. Anda berpura-pura menjadi hero demi kepentingan Walker.

“Semua ini takkan berlaku jika kau berhenti!” – Colonel John Konrad kepada Captain Walker.

Story : 5/5

Gameplay : 3.5/5

Graphics : 4/5

Soundtrack : 4/5

Overall : 9/10

Too much is never enough

Sometimes the land is never enough for him,

He wanted more and more,

In order to fulfill his own needs,

He would take whatever he wants on the freedom land,

Even if he have to eliminate other living things,

He don’t want to share his fortune with others,

He become greedy and more greedy,

As he start to enslaved other people,

To working with him,

Until one day,

Bad thing happened and the freedom land torn apart,

People started to fight against him,

Rage at him until they reached the most extreme boiling point,

They killed him,

Never underestimate the power of united,

As it can bring down despotic powerful man like him,

Freedom land become peace,

People share the land and its resources equally,

Because the land was already enough for everyone

 

 

 

Perjalanan Adam (Episod 3 – Akhir)

PA E3

Pukul 10:00 malam

   Adam berada di atas gelanggang perlawanan yang berlangsung di sebuah bangunan yang sudah lama ditinggalkan. Penonton mula bersorak, duit mula beterbangan, perjudian sedang dijalankan. Di hadapan Adam ialah lawannya yang pertama, dari Scotland. Lelaki kulit putih itu menggunakan skil tinju biasa, Adam dapat mengalahkan lelaki itu dengan mudah.

   Lawannya yang kedua kali ini dari China, lelaki itu datang dengan membawa sebilah pedang yang bersinar dan tajam. Kali ini, Adam lebih menggunakkan pertahanannya untuk menggelak serangan pedang lelaki China itu. Serangannya amat laju, Adam terpaksa fokus untuk menggelak setiap satu darinya. Sehingga satu saat, peluang ada di depan mata Adam dan dia tidak mahu lepaskannya. Adam dapat mematahkan kedua-dua belah tangan lelaki China itu, lalu mengalahkannya. Seperti yang telah diberitahu oleh Bakar, perlawanan ini tiada undang-undang, peserta boleh membawa apa saja jenis senjata di atas gelanggang.

   Untuk kali ketiga dan terakhir, Adam bertemu dengan lawannya. Tetapi wajah Adam berubah.

   “Bakar!?”

   “Maaf Adam, abang kau kata dia akan bagi extra money kalau aku dapat kalahkan kau”

   “Abang aku? Dia ada kat sini?”

   “Kau tak tahu lagi ke? Dialah penganjur perlawanan berdarah ni.”

   “Aku dah janji dengan kau, aku akan menang untuk kau.”

   “Well, selagi aku nak peluang besar kat depan aku, aku dapatkannya, aku tak peduli tentang yang lain.”

   “Celaka kau! Mana pak cik aku!?”
“Jangan risau, dia ada kat atas dengan abang kau. Sekarang, jom, kita berlawan.”

   Adam dan Bakar masing-masing bersiap sedia dengan langkah silat mereka berdua. Bakar mula mara dengan pantas ke arah Adam. Adam melepaskan tumbukan, tetapi serangannya berjaya dihalang oleh Bakar. Bakar membalas dengan menyelitkan kakinya antara dua kaki Adam, lalu menjatuhkan Adam serta-merta.

  Bakar cuba untuk memijak Adam yang sudah rebah. Adam menggelak dengan menggulingkan badannya. Adam bangun dan mara ke arah Bakar. Adam melepaskan tendangan ke arah Bakar. Bakar tidak sempat menggelak, Adam membalas lagi dengan tumbukan berkali-kali ke arah wajah dan badan Bakar. Bakar tiada peluang untuk membalas.

   Sehinggalah Bakar mengeluarkan karambit dan mencederakan Adam di bahagian perut. Luka mula kelihatan.

   “Sekarang kau main kotor pulak.”

   “Kalau aku dapat bunuh kau. Dia bagi lagi banyak duit hahahah.”

   “Kau dah salah gunakan silat. Aku akan hentikan kau.”

 Bakar menyerang dengan karambitnya berkali-kali ke wajah Adam, dia berjaya menggelak. Adam dapat memegang lengan Bakar, dia memusingkan tangan Bakar dan mematahkan tangan di bahu Adam. Tangan kanan Bakar tidak berfungsi. Adam membalas dengan tumbukan sekali ke wajah Bakar, lalu dia rebah dan pengsan. Kemenangan diberikan kepada Adam.

   Adam tidak mahu wang, dia mahu bebaskan pak ciknya. Dia naik ke atas iaitu bilik VIP di mana abangnya menggunakan bilik itu menonton perlawanan. Pintu tidak berkunci, Adam masuk.

BANG!

   Tiba-tiba bahu kanan Adam terasa amat panas dan pedih. Darah mula menitik keluar. Automatik badan Adam terketar-ketar, peluru sudah tertanam di dalam bahunya. Adam melihat di depan ialah abangnya yang sedang mengacukan pistolnya ke arah Adam. Di sebelah abangnya ialah pak cik Mokhtar yang sedang dalam ikatan di tangan dan mulutnya di tutup dengan pita pelekat.

   “Kenapa abang tembak Adam?”

   “Aku ingat budak si Bakar tu boleh habiskan kau. Ternyata jangkaan aku meleset.”

   “Kenapa abang benci sangat kat Adam?”

   “Sebab kau cuba nak bawa tradisi kampung bodoh kau kat bandar ni. Aku kena bunuh kau sebab aku tak nak orang-orang VIP tahu yang aku ni asal dari kampung.”

   “Abang, mak dan ayah rindu kat abang. Balik la ke kampung dengan Adam esok.” Kata Adam sambil menahan kesakitan.

   “Pulang? Ha! Lepas tu apa? Aku kena pukul dengan ayah lagi. Aku takkan jejakkan kaki aku ke kampung kuno tu lagi. Sudah la, dari kecil lagi, ayah dan mak sayangkan kamu lagi dari aku. Sebab tu aku benci korang semua.”

   “Bandar ni dah banyak mengubah abang.”

  “Aku jadi kaya, aku berada di atas. Aku tak perlu duduk kat kampung mengharapkan bantuan orang lain. Aku ratah semuanya sehingga habis. Semuanya milik aku.”

   “Sekarang, kau mati.” Abangnya mula untuk melepaskan tembakan. Tiba-tiba bunyi siren polis mula kedengaran di luar bilik VIP. Abang Adam melihat ke arah komputer yang memaparkan rakaman CCTV melihat penontonnya ditangkap oleh pihak polis.

   “Kau telefon polis!?”

   “Adam kena hentikan perbuatan keji abang.”

    “Celaka kau!!!”

BANG! BANG! BANG!

    Beberapa das tembakan dilepaskan oleh abang Adam. Adam berlindung di belakang sofa, dia tiada peluang untuk bergerak ke mana-mana. Ketika abangnya cuba untuk mengisi peluru, Adam bergerak dengan pantas ke arah abangnya dan cuba untuk mengambil pistol tersebut dari abangnya.

   Pak cik Mohktar berjaya melepaskan dirinya dari ikatan. Dia cuba untuk Adam dengan menarik abang Adam. Abang Adam menolak pak cik Mokhtar dan Adam. Abang Adam menembak Adam. Dia rebah ke lantai. Darah mengalir keluar dengan banyak kerana tembakan itu tepat mengenai perutnya.

   Anggota polis mula merempuh masuk dan melepaskan tembakan tepat ke kepala abang Adam. Abangnya mati dengan serta-merta. Pak cik Mokhtar mendekati Adam dan memegang tangan Adam.

   “Adam, kamu bertahan Adam. Tolong panggil ambulans!”

   “Pa, pa, pak cik, tolong bagi ni kat mak ayah saya. Kata kat mereka, saya sayangkan mereka.” Adam memberikan sekeping surat dan buku akaun bank kepada Pak cik Mokhtar dalam keadaan tangannya terketar-ketar.

   “Maafkan saya pak cik.” Adam pergi ke alam lain. Meninggalkan dunia. Matanya mengalirkan air mata walaupun sudah ditutup. Pak cik Mokhtar tidak dapat berbuat apa-apa. Dia hanya mampu bersedih dan mendoakan Adam supaya tenang di sana. Berada dalam kalangan orang-orang yang baik.

   “Kamulah budak yang baik Adam. Kamu budak baik.” Kata Pak cik Mokhtar di dalam hatinya.

   Jenazah Adam dan abangnya dibawa ke kampung. Pak Cik Mokhtar mengikuti sekali. Apabila tiba di rumah mak dan ayah Adam, jenazah dua adik-beradik itu dibersihkan, jenazah Adam selesai dengan cepat, tetapi abangnya sedikit lama kerana orang yang membersihkannya berkata mayat abangnya sedikit busuk.

   Dua jenazah itu dibawa ke tanah perkuburan terdekat di kampung itu. Setelah selesai dikebumikan, Pak cik Mokhtar memberikan surat dan buku akaun bank kepada ibu Adam. Ibu dan ayah Adam membaca surat itu.

   “Ibu, ada sebab kenapa Adam mahu keluar dari kampung. Ingat tak masa Adam umur 12 tahun dulu? Masa Adam dengan abang tengah buat kerja rumah, ibu tengah lipat kain. Ibu pernah kata yang ibu teringin nakkan kita satu keluarga tunaikan umrah sama-sama. Sejak dari hari itu, Adam teringatkan kata-kata ibu dan bertekad untuk kumpul duit apabila Adam dapat cari kerja kat Kuala Lumpur.

   “Ayah, sebenarnya Adam dah boleh beli tempat untuk Adam mengajar silat tu. Tapi, impian ibu lebih penting di dunia dan akhirat. Adam harap Adam akan dapat jumpa dengan abang dan bawa dia balik ke kampung supaya kita sekeluarga dapat pergi umrah sama-sama. Harap-harap hubungan kita sekeluarga dapat dipulih lepas kita pergi umrah. Maafkan Adam ayah sebab tak dapat nak tunaikan impian ayah.”

   Ibu dan ayah Adam mengalirkan air mata kesedihan. Anak bongsunya itu sudah banyak berkorban untuk merealisasikan impian keluarga itu untuk menunaikan umrah bersama-sama dengan dua orang anak mereka. Tetapi kali ini mereka berdua tidak kembali dengan pakaian cantik, tetapi pulang dengan kain putih.

Beberapa bulan kemudian…

   Ibu dan ayah Adam tiba di lapangan terbang KLIA, mula untuk bertolak ke Arab Saudi untuk menunaikan umrah. Sedang mereka berdua berjalan menunju ke kapal terbang. Langkah ibu Adam terhenti, hatinya merasakan sesuatu yang… Kuat. Ibu Adam berpaling ke belakang dan dia ternampak bayangan Adam dan abangnya sedang menarik beg beroda. Adam tersenyum melihat wajah ibunya. Ibunya mengalirkan air mata.

Perjalanan Adam (Episod 2 )

PA E2

Kuala Lumpur

   Adam sampai ke Kuala Lumpur di waktu matahari sedang menegak tepat di atas kepalanya sebaik sahaja dia keluar dari bas. Adam pun memulakan percariannya untuk mencari rumah murah untuk disewa. Ke sana ke mari dia berjalan, banyak jalan dia sudah masuk tetapi tiada satu pun rumah untuk disewa. Di dalam otaknya, banyak yang perlu difikirkan lagi selain rumah seperti kerja, makan dan minum serta impian. Sehingga ke malam dia tidak dapat mencari rumah. Adam terlalu penat, akhirnya dia berhenti di sebuah surau kecil berada di tengah-tengah bangunan kapitalis. Adam solat berjemaah dengan para jemaah yang lain.

   Selesai solat Adam berjumpa dengan imam di surau itu. Dia meminta izin dari imam itu untuk tidur sebentar di surau tersebut, imam itu menerima izinannya. Tetapi imam itu ada cadangan yang lebih baik, dia mengajak Adam ke rumahnya. Maka, Adam pun mengikut imam itu ke rumahnya.

   Semasa dalam perjalanan ke rumah imam itu, dia berbual dengan Adam.

   “Kamu nampak macam bukan dari sini?”

   “Ya imam.”

   “Jangan panggil saya imam. Panggil jer Pak Cik Mokhtar. Nama kamu?”
“Adam. Saya dari kampung kat Perak sana nun.”

   “Oh, apa hajat kamu datang ke bandar besar ni?”

   “Saya nak merantau, cari kerja dan senangkan mak ayah saya.”

   “Moga-moga kamu dapat capai impian kamu. Tapi kamu kena ingat, hati-hati bila pilih kawan, banyak penipu dari yang benar. Pilih kerja yang elok, banyak haram dari yang halal. Kekalkan azam kamu yang sebenar, bantu mak ayah. Jangan jauh lari terpesong dari yang betul. Tapi pak cik tengok, kamu akan berjaya.” Senyum Pak Cik Mokhtar.

   “Terima kasih pak cik. Tapi sekarang saya ada masalah nak cari rumah sewa. Saya kena cari cepat.”

   “Oh…”

   Akhirnya Adam sampai di rumah Pak Cik Mokhtar. Rumahnya kecil dan dia tinggal berseorangan. Sebelum Adam melelapkan mata, Pak Cik Mokhtar ada menghidangkan beberapa keping biskut dan secawan kopi. Selepas itu, Adam tidur di atas sofa di ruang tamu.

   Keesokkan paginya, Adam bersiap untuk meneruskan perjalanannya. Adam berjumpa dengan Pak Cik Mokhtar untuk mengucapkan terima kasih. Tetapi Pak Cik Mokhtar memberikan Adam sekeping kertas kecil.

   “Ni lokasi ke rumah sewa kamu, pak cik dah telefon penyewa rumah tu. Kamu hanya uruskan bayaran jer. Nah kunci.”

   “Apa? Terima kasih pak cik! Terima kasih banyak-banyak!” Adam memeluk Pak Cik Mokhtar.
“Kamu kena ingat apa yang pak cik pesan malam tadi.”

   “Ya pak cik. Saya akan ingat sampai bila-bila. Kalau ada masa, saya akan lawat pak cik nanti.”

    Pak Cik Mokhtar membalas dengan senyuman. Lalu, Adam pun beredar dari rumah Mokhtar dan meneruskan perjalanannya untuk mencari kerja pula. Setelah berjalan di banyak tempat di tengah-tengah kota Kuala Lumpur. Akhirnya Adam mendapat kerja sebagai pelayan di sebuah restoran yang menyediakan makanan Melayu dan Thai. Adam memilih restoran itu kerja gajinya cukup untuk dia makan dan membayar sewa serta restoran itu dekat dengan rumah sewanya.

   Selama enam bulan Adam bekerja di restoran itu. Pelanggan mula mengenali wajah mesra Adam dengan layanan baiknya. Sekali-sekali Adam akan menelefon ayah dan ibunya di rumah, Adam hanya menggunakan telefon di tempat kerjanya sahaja dia tidak ada telefon bimbit.

   Kadang-kadang Adam akan berpuasa untuk menyimpan duit lebih. Adam juga ada melawat surau di mana dia berjumpa dengan Pak Cik Mokhtar, Adam memberikan beberapa helai sejadah atau juadah makanan untuk disedekahkan kepada surau tersebut sebulan sekali. Dalam enam bulan itu, Adam berkenalan dengan seorang lelaki yang juga bekerja sebagai pelayan di restoran sama. Namanya Bakar, dia juga sama seperti Adam, dari luar juga tetapi dia sudah merantau lebih lama sejak lima tahun dahulu. Dia tak banyak bercakap tetapi kerja tetap jalan.

   Lima tahun sudah berlalu, Adam hampir berjaya untuk mengumpul duit dan menyewa satu tingkat di sebuah bangunan juga tidak jauh dari rumahnya untuk membuka kelas Silat. Sedang Adam mengambil pinggan dan cawan di atas meja yang telah ditinggalkan oleh pelanggan. Tiba-tiba terdengar satu jeritan suara perempuan berdekatan dengan restoran itu.

   “Tolong!!! Dia ragut saya!!!” Jari telunjuk perempuan menunjukkan peragut itu bergerak ke kiri Adam. Adam dengan pantas berlari mengejar peragut itu. Sehingga mereka berdua sampai di satu lorong sunyi, peragut itu bertindak dengan melawan Adam. Adam membalas dengan beberapa tumbukan, peragut itu rebah di atas jalan. Namun dia bangkit semula dan menyerang sekali lagi ke arah Adam, kali ini dengan pisau lipat pula.

   Peragut itu menyerang Adam berkali-kali dengan menggunakan pisau lipatnya. Adam berjaya mengelak setiap serangan peragut tersebut. Adam mencari peluang dan masa yang sesuai untuk membalas semula serangan peragut itu. Akhirnya Adam dapat mengunci tangan peragut dengan mengepak lalu menjatuhkan pisau lipat. Adam melakukan lagi serangan menendang peragut itu sehingga rebah. Peragut tidak mempu untuk membalas lalu melarikan diri dan meninggalkan beg tangan perempuan yang telah diragut olehnya.

   Adam mengambil beg tangan itu dan apablia dia berpaling ke arah jalan menghalang pulang. Bakar melihat aksi Adam dari jauh.

   “Bakar? Apa kau buat kat sini?” Tanya Adam.

   “Aku ingat nak tolong kau, tapi kau dah settlekan dulu.”

   “Apa yang penting sekarang, kita dah dapat beg puan ni. Baik kita serah kat dia cepat.”

   Sedang mereka berdua berjalan menuju balik ke restoran. Bakar bertanyakan satu soalan kepada Adam.

   “Adam, kau nak kerja untuk duit lebih tak?”

   “Duit lebih? Boleh. Aku pun sekarang kena pakai duit banyak.”

   “Jumpa aku kat restoran pukul sembilan karang.”

   Apabila mereka sampai di restoran, wanita yang telah diragut tadi sedang duduk di kerusi restoran dengan raut wajah yang risau. Adam memulangkan beg tangan kepada wanita tersebut. Wajah wanita itu kembali tersenyum dan gembira. Wanita itu memberikan wang kepada Adam, tetapi Adam menolak.

   “Adik tak nak duit ni. Hmm, tak apalah. Apa-apa pun terima kasih banyak-banyak adik. Kalau adik tak ada tadi dah lama beg akak kena lesap.” Wanita itu hendak bersalam dengan Adam, tetapi Adam membalas dengan meletakkan tangan kanannya di bahu kiri dan menundukkan badannya sedikit sebagai tanda hormat salam kepada wanita yang berumur dalam lingkungan 40-an.

   “Maaf puan, bukan muhrim.” Wanita itu mengundurkan tangannya perlahan-lahan dengan wajah sedikit malu. Selepas wanita itu beredar dari restoran, Adam dan Bakar kembali melakukan tugas masing-masing. Adam dan Bakar bekerja sehingga pukul tiga petang. Itu sedikit sebanyak memberikan masa berehat kepada mereka berdua.

Pukul 9.00 malam…

   Adam berjumpa Bakar di restoran pada waktu malam. Restoran tempat mereka bekerja masih lagi dibuka sehingga pukul sepuluh malam. Adam mengikut Bakar menuju ke satu bangunan apartmen yang sudah lama usang dan ditinggalkan. Apabila mereka berdua masuk, Adam melihat ramai orang bersorak-sorak dalam satu bulatan besar seperti mereka sedang menonton satu perlawanan yang mengasyikkan.

   Adam mengikut Bakar bergerak ke hadapan sambil dihimpit oleh lautan manusia. Dua orang sedang berlawan sehingga berdarah di seluruh badan. Itu yang Adam nampak. Seorang lelaki tumbang dan tewas dari perlawanan itu. Pengadil mengangkat tangan kanan pemain tanda kemenangan kepada lelaki itu.

   “Ada sesiapa lagi nak mencabar Encik Doreno?” Tanya pengadil di hadapan khalayak penonton.

   Dalam bingitan suara dari pelbagai sudut dan arah itu. Seorang lelaki menjawab ‘saya’ dengan penuh yakin kepada pengadil. Lelaki itu tidak lain tidak bukan ialah Bakar. Bakar tampil di atas pentas perlawanan, dia membuka jaketnya, menampakkan otot-otot kecilnya. Saiz badan Bakar hampir sama dengan Adam yang sedang melihat Bakar dari bawah. Manakala lawannya, Encik Doreno bersaiz besar dengan otot-otot dua kali ganda lebih besar seperti badan kebanyakkan orang eropah.

   Bakar dan Doreno bersiap sedia dengan posisi melawan masing-masing. Pengadil berada di tengah dengan tangan kanan di atas udara. “Mula!” Pengadil menjatuhkan tangannya ke bawah tanda mula.

   Tiba-tiba, sesuatu yang pelik berlaku. Sepantas kilat Bakar mulakan gerakannya dengan mara ke arah Doreno dan menumbuk berkali-kali sehingga lawannya tiada peluang untuk membalas. Bakar bergerak ke belakang Doreno dan mematahkan kaki kiri dan kanan. Bakar menyerang di bahagian-bahagian lemah sehingga wajah bengis Doreno bertukar tragis. Doreno terus tumbang.

   “Silat harimau?” Adam berkata di dalam hatinya sedang dia melihat aksi Bakar.

   Perlawanan itu tidak sampai satu minit, kemenangan berpihak kepada Bakar. Badan gergasi Doreno diheret oleh pengawal-pengawal yang sedang bertugas. Bakar turun dari pentas dengan senyuman di wajahnya. Penonton bersorak gembira, Bakar bergerak ke sebuah kaunter. Di kaunter itu, pekerja yang bertugas memberikan sejumlah wang yang banyak kepada Bakar. Adam mendekati Bakar.

   “Ha Adam, pergilah naik atas pentas tu. Kau boleh lawan kan?”

   “Aku tak nak.”

   “Hei, duit ni! Masyuk!” Bakar menunjukkan wang ke arah muka Adam.

   “Dengan belasah orang sampai keluar darah!? Aku tak nak salah guna kemahiran aku. Aku nak cari rezeki halal, bukan dengan cara ni.”

   “Kalau kau tak nak. Ok. Kau hiduplah dalam dunia miskin kau. Aku nak bantu kau. Kau ingat kau boleh hidup kat bandar ni dengan gaji yang kau ada sekarang? ”

   “Aku lebih rela dapat gaji sikit daripada aku kotorkan tangan untuk dapat duit banyak. Kau tak membantu aku langsung Bakar.” Kerana terlalu geram dengan sifat sebenar Bakar, Adam terus keluar dari tempat hina itu. Dia sangat kecewa dengan Bakar, orang yang dia kenali dulu sebagai seorang yang pendiam dan baik hati di hadapan semua orang sebenarnya ialah seorang yang tamakkan wang.

   Keesokkan harinya, Bakar tidak hadir ke tempat kerja. Adam tidak hiraukan langsung tentang dia. Adam hanya fokus kepada pekerjaannya sehinggalah masa bekerjanya tamat. Adam meminta izin dari bosnya untuk balik awal kerana dia perlu berjumpa dengan penjual bangunan di tempat Adam akan membuka kelas Silat. Bos Adam membenarkan dengan senyuman.

   Adam sampai di hadapan bangunan tersebut, tetapi Adam melihat sekumpulan lelaki dengan membawa senjata tajam.

   “Abang!?” Adam melihat wajah salah seorang lelaki dalam kalangan kumpulan itu.

   Lelaki itu menoleh ke arah lelaki kurus berbaju t-shirt dan berseluar jeans. Lelaki itu tersenyum dengan batang rokok masih lagi berada di mulutnya.

   “Adam? Kau rupanya pembeli tu. Aku tak benarkan kau beli bangunan ni. Bangunan ni milik aku.”

   “Abang dah lama tak balik rumah. Ayah dan mak rindukan abang.” Pujuk Adam.

   “Biar aku teka… Ayah benarkan kau merantau dengan syarat kau kena bukak kelas Silat kan?”

   “Macam mana abang tahu?”

   “Ayah dah lakukan perkara tu kat abang dulu… Lima tahun lepas. Lepas tu abang sedar, abang takkan dapat cari makan dengan mengajar Silat. Lagipun orang sekarang tak nak belajar Silat, mereka pandang sebelah mata jer.”

   “Jadi dengan masuk gangster boleh selesaikan segala-galanya?” Tanya Adam.

   “Ya! Abang boleh hidup dekat bandar KL ni dengan kerja ni.” Jawab abangnya dengan penuh bangga.

   “Abang dah lupakan kampung abang. Abang dah tinggalkan tradisi kita.”

   “Pergi mampus dengan tradisi tu! Kampung tu hidup dalam kuno dan takkan maju, asyik mengharapkan bantuan orang lain. Abang tak nak jejakkan kaki ke sana lagi.”

   “Abang tak boleh halang Adam. Adam akan beli jugak bangunan ni.”

   “Dah terlambat, kawan-kawan baru jer bunuh penjual bangunan ni.”

   “Tak guna abang!!!” Adam melulu ke arah abangnya untuk melakukan serangan. Tetapi dalam sekelip mata, abangnya dapat menghalang serangan adiknya dan membalas dengan satu pukulan tepat di perut Adam. Adam jatuh dengan hentakan kuat ke tanah.

   “Silat kau masih lemah, kau bukan lawan abang.”

   Tiba-tiba abangnya memberikan isyarat kepada rakan-rakannya, membenarkan mereka membelasah adiknya sendiri. Mereka semua berlari ke arah Adam dengan senjata masing-masing. Adam bingkas bangun dan membalas setiap serangan yang dilakukan oleh orang-orang abangnya.

   Adam sekali lagi dikalahkan, luka dan lebam di badannya mula timbul. Kepedihan dan kesakitan dapat dirasai oleh dia. Kedua belah tangan Adam tiba-tiba sahaja dipegang oleh dua orang rakan abangnya. Abangnya mendekati adiknya yang lemah.

   “Aku dapat tahu pasal info ni dari kawan baik kau, Bakar. Jadi, lagi sekali kau cuba nak jejakkan kaki ke bangunan ni, kau mati. Faham!?”

    “Mana sifat manusia abang?”

   “Aku cakap faham ke tak!?” Abangnya melepaskan satu tumbukan ke perut adiknya.

   “Fa…Faham.” Adam dilepaskan dari genggaman dan ditinggalkan di situ sendirian. Rebah dalam kesakitan. Sedang abangnya berlalu pergi, jauh dan lebih jauh, pandangan Adam mula menggecil. Kesakitannya mula menaik.

   Siang bergantikan malam, matahari panas turun, bulan sejuk naik pula. Tapi darah panas anak muda bernama Adam mula membuak-buak naik seperti bom masa bakal meletup. Adam berlari ke rumah Bakar dan menyerbu masuk ke dalam. Bakar berada di ruang tamu.

   Adam dan Bakar mula berlawan. Tumbukan demi tumbukan Adam melepaskan ke arah Bakar dengan penuh rasa geram. Skil Silat Harimau dari Bakar tidak mampu menandingi kemarahan gergasi Adam. Adam mengunci setiap serangan yang dilakukan oleh Bakar. Apabila Bakar cedera teruk, dia mengangkat kedua belah tangannya tanda mengaku kalah.

   “Kau hancurkan impian aku! Kau hancurkan impian ayah aku!!!”

   “Sabar, sabar Adam. Kau tengok gambar kat telefon aku.”

   Seorang lelaki tua diikat tangan dan kakinya serta mulutnya ditutup dengan pita pelekat. “Pak Cik Mokhtar!!! Celaka kau!!!” Adam menghentak badan Bakar ke dinding.

   “Kalau kau nak pak cik tu selamat. Masuk perlawanan tu. Esok malam. Menang untuk aku.” Ujar Bakar. Adam tidak ada pilihan selain mengikut kata-kata dia. Adam melepaskan Bakar.

   “Kau janji akan lepaskan pak cik aku?”

   “Aku janji. Jangan risau. Kau hanya perlu menang perlawanan tu. Kalau kau hubungi polis, dia habis.”

   Adam keluar dari rumah Bakar dan kembali ke rumahnya dalam keadaan hati yang tidak tenang. “Jahanam kau Bakar. Kau dah ekori setiap langkah aku. Sebab duit kau sanggup culik pak cik.”

   Adam cuba untuk membaringkan dirinya di atas katil, tetapi matanya tidak duduk diam. Dari tadi asyik melihat ke kiri, kanan, atas dan bawah. Otak Adam masih berjalan, memikirkan lawannya yang terdiri dari pelbagai negara, bangsa dan saiz. Namun, lama-kelamaan Adam dapat melelapkan matanya.

   Keesokan paginya, sebelum api mula marak pada waktu malam. Adam singgah sebentar di pejabat bank untuk memasukkan duit gajinya. Selesai sahaja Adam kembali semula ke rumahnya dan mula berlatih untuk memperkuatkan skil silatnya. Persediaan sebelum perlawanan.

   Telefon bimbit Adam berdering. Adam menekan butang hijau di telefonnya.
“Assalamualaikum Adam, ini mak.”

   “Mak, kenapa tiba-tiba telefon ni?”

   “Aik kamu ni? Nak tanya khabar la. Dah berapa bulan kamu tak telefon mak. Mak risau. Kamu macam mana kat sana, ok?”

   “Ok mak, Adam baik-baik jer. Kerja Adam pun bagus. Ayah dan mak macam mana, sihat?”

   “Sihat. Jangan bimbang pasal kami berdua. Adam tu kena jaga diri baik-baik. Jaga kesihatan.”

   “Mak… Adam jumpa abang.”

   “A, Abang kamu? Dia buat apa sekarang?”

   “Dia… Dia ada kerja yang bagus. Mak, Adam akan bawa abang balik kampung sekali esok.”

   “Bawa abang balik nak. Mak dengan ayah rindukan dia sangat.”

   “Baiklah mak, Adam ada kerja ni. Nanti Adam telefon mak. Assalamualaikum.”

   “Waalaikumussalam.”

Perjalanan Adam ( Episod 1)

  PA E1

   Waktu subuh yang sejuk dan dingin. Kegelapan masih lagi menutupi bumi Malaysia di sebuah perkampungan kecil dan pedalaman di Lenggong, Perak. Kampung yang subur dengan tanah dan hidupan semula jadi ciptaan Yang Maha Esa. Bilangan penduduk kampung di situ tidak ramai. Bilangan orang-orang tua lebih ramai dari anak-anak muda. Kebanyakan anak-anak muda keluar dari kampung untuk mencari kehidupan yang lebih baik, lebih moden, jauh dari kuno. Tetapi ada juga sebilangan anak-anak muda yang masih lagi tinggal di kampung tersebut. Mereka masih lagi tinggal di situ kerana mahu mengikut jejak langkah keluarga mereka dalam pekerjaan, mewarisi adat warisan turun temurun dari segi bahasa, agama, budi bahasa dan seni mempertahankan diri. Mereka menjaganya dengan baik tanpa diceroboh oleh lautan pemodenan agar tidak lapuk di telan zaman.

   Angin yang sejuk dan dingin itu dapat dirasai oleh seorang anak muda yang sedang mandi dengan badan tergetar-getar. Angin dan air sejuk bergabung menjadi kesejukan yang melampau. Dia menggosok gigi dengan menggunakan kayu sugi, selepas itu dia mengambil wuduk. Setelah selesai mandi, dia kembali ke biliknya untuk memakai baju melayu berwarna putih dengan songkok berwarna hitam. Melihat dirinya di cermin, refleksi dari cermin menggambarkan lelaki itu seorang yang kacak, baik dan hormat kepada kedua ibu bapanya. Lelaki itu tersenyum melihat dirinya yang sudah bersih untuk berjumpa dengan tuhan.

   “Adam, mari. Solat sama-sama.” Seorang lelaki membuka pintu bilik Adam separuh. Wajahnya sudah kelihatan tua sedikit, mungkin dalam lingkungan 60-an. Misainya seperti pelakon Gerak Khas, A. Galak.

   “Baiklah ayah.” Adam mengikut ayahnya ke ruang tamu untuk solat bersama-sama dengan ibunya. Ibunya sudah siap dengan memakai telekung putih. Tiga sejadah sudah disediakan. Keluarga kecil itu solat bersama-sama.

   Matahari sudah mula menunjukkan dirinya, Adam dan keluarganya selepas bersarapan pagi hanya dengan juadah kuih-muih. Semua penuduk kampung di situ bersiap untuk melakukan pekerjaan masing-masing sebagai petani, penoreh getah, penjual, pembuat keris dan lain-lain. Anak-anak kecil dan remaja pula pergi ke sekolah pondok untuk menimba ilmu. Begitu juga dengan ibu dan ayah Adam, mereka juga siap untuk pergi mencari rezeki. Ayah Adam bekerja sebagai penjual sayur di sebuah pasar kecil di kampung itu. Ayahnya menanam sayur-sayuran di belakang rumahnya. Ibu Adam pula hanya sebagai suri rumah. Penduduk di kampung itu mengamalkan tradisi di mana kaum perempuan tidak dibenarkan bekerja atau membuat kerja-kerja lelaki.

   Tujuan tradisi itu dibuat sejak turun-temurun kerana untuk menjaga kehormatan dan kesucian perempuan sebagai wanita asli supaya malam tidak cuba untuk menjadi siang dan siang tidak cuba untuk menjadi malam. Biar malam kekal di tempatnya, biar siang kekal di tempatnya. Kerana kalau malam cuba untuk menjadi siang, mereka takut akan muncul perempuan berpakaian seperti lelaki.

   Adam selalu mengikut ayahnya ke pasar untuk membantu. Pasar itu tidak jauh dari rumah, jadi Adam boleh mengangkut ke semua sayur-sayuran dengan berjalan kaki ke pasar. Tetapi buat ayahnya, putih lebih banyak dari hitam di rambut membuatkan dia tidak larat untuk berjalan kaki. Jadi, dia ke pasar dengan mengayuh basikal. Jualan mereka setiap hari tidaklah banyak, hanya kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Penduduk di kampung itu membeli dengan menggunakan sistem tukaran (barter) sebagai medium untuk membeli dan menjual. Mereka akan menggunakan wang kertas jika mereka keluar dari kampung sahaja. Mereka tahu barang tukaran itu sendiri mempunyai nilai matawang yang bernilai.

   Anak dan ayah berniaga sampai ke petang. Pukul enam mereka berdua balik semula ke rumah kayu. Mereka mendapat beras, daging ayam dan beberapa lagi jenis buah-buahan, hasil dari tukaran barangan tersebut dengan sayur mereka. Ibu Adam menggunakan barangan itu untuk memasak juadah makan malam. Pada pukul tujuh, mereka bertiga mula menjamu selera.

   Kampung itu kurang mendapat perhatian dari orang atasan kerana kampung itu terlalu jauh dari orang luar, namun mereka tetap datang untuk membantu. Hanya tiga benda sahaja mereka memberikan kemudahan di kampung itu. Sistem janakuasa solar untuk membekalkan tenaga elektrik pada waktu malam, sistem telekomunikasi dan sebuah dewan kecil. Setiap rumah di kampung itu mereka telah diberikan satu telefon rumah. Orang atasan itu berkata mereka akan datang lagi untuk berikan bantuan, tetapi mungkin lambat kerana pelbagai kertas persetujuan perlu dilaksanakan.

   “Ayah, adik nak merantau boleh tak, nak cari kerja yang lebih elok.”

   “Buat apa kamu nak merantau luar sana? Tak boleh! Kamu duduk sini, tolong ayah.” Nada tinggi keluar dari bibir ayah Adam.

   “Tapi ayah.”

   “Kamu nak jadi macam abang kamu? Dah lapan tahun dia tak balik. Dah lupa diri agaknya.”

   Adam kembali menyuap makanan ke dalam mulutnya. Dia tidak mahu ayahnya mengingat semula peristiwa abangnya meninggalkan kampung itu kerana tidak suka dengan cara hidup di situ. Kalau ayahnya ingat, pasti dia akan naik marah. Selesai makan malam, mereka bertiga solat maghrib bersama-sama. Pada pukul 8.30 malam, ayah dan Adam berangkat ke masjid untuk solat Isyak berjemaah dengan penduduk kampung.

   Pada pukul 9.30 malam, Adam menghadiri kelas Silat Seni Gayong yang diterajui oleh ayahnya sebagai tok guru di dalam kelas pada malam itu. Kelas silat itu dilakukan di sebuah dewan kecil. Mereka semua memakai pakaian serba hitam dengan tengkolok serta bengkung tali pinggang berwarna hitam atau putih kecuali tiga orang yang memakai bengkung berwarna kuning. Terdapat tiga belas anak murid termasuk Adam. Di antara tiga belas anak murid Silat Gayong itu, Adam, Khairul dan Saiful adalah antara senior di dalam kelas itu. Saiful dan Khairul merupakan kawan baik kepada Adam sejak mereka berumur 8 tahun. Saiful adalah anak kepada pembuat keris yang handal di kampung itu, Amar Mustaqim. Manakala, Khairul ialah anak kepada Farid Kamarudin, seorang petani.

   Pada malam itu, mereka melakukan latihan bersama-sama. Senaman ringan, latihan teknik mengawal penafasan dan spiritual serta latihan satu lawan satu. Ayah Adam melihat setiap anak muridnya melakukan latihan. Setiap langkah-langkah dilihat dengan teliti oleh lelaki bermisai itu. Di sebelah ayah Adam ialah Amar Mustaqim, ayah kepada Saiful.

   “Malam ni mereka semua buat dengan baik malam ni Isa.” Kata Amar kepada Ayah Adam.

   “Ya, kita perlu pelihara mereka semua supaya generasi muda di bawah aku ini boleh menjaga seni warisan bila kita yang dah tua ni tak ada nanti.” Balas Isa.

   “Betul. Isa, aku dengar dari orang kampung, anak kau nak keluar dari kampung ni. Betul ke?” Tanya Amar.

   “Betul, tapi aku tak benarkan. Aku tak nak dia jadi macam abang dia.”

   “Abang dia tu tak nak ikut cara hidup orang kat sini. Silat pun dia tak nak belajar. Tapi Isa, Adam lain. Kau kena bagi dia lihat dunia luar. Alah, kau dengan aku masa muda dulu, suka merantau juga. Bagilah dia peluang.”

   “Hmm, nanti aku fikirkan dulu. Kau bawa keris baru ke?” Tanya Isa.

   “Ni, aku baru buat pagi tadi.” Amar menunjukkan dua bilah keris kepada Isa.

   “Kau bagi kat Adam dan anak kau. Kita bagi mereka berdua cuba keris baru ni.” Ujar Isa.

   Amar memanggil Saiful dan Adam yang sedang sibuk melatih anak-anak murid lain. Amar memberikan dua bilah keris itu kepada mereka berdua. Maka, anak-anak murid Silat Gayong Isa dikumpulkan, dibuatnya satu bulatan besar. Di tengah-tengahnya ialah Adam dan Saiful. Khairul sebagai pengadil. Adam di kanan, Saiful di kiri. Masing-masing membuka langkah silat.

   Apabila pengadil memberikan isyarat tangannya. Maka bermulalah perlawanan di antara Adam dan Saiful. Saiful mulakan serangannya, kerisnya terus menghunus ke arah Adam. Adam berjaya menepis, lalu terus mengunci serangan Saiful dengan menyelit kaki kiri Saiful, lantas dia terus jatuh. Keris Adam berada tepat-tepat di hadapan mata kiri Saiful yang sudah jatuh. Adam memandang tepat ke arah mata ayahnya. Ayahnya hanya terdiam. Pandangan Adam seperti dia tidak merasa puas hati dengan keputusan ayahnya.

   Adam melepaskan tangan Saiful dan kerisnya, lalu terus keluar dari dewan tersebut. Ayahnya hanya mampu melihat Adam berlalu pergi. Isa pun mengarahkan anak muridnya untuk balik ke rumah masing-masing. Kelas silat sudah tamat.

   “Kan aku dah cakap, dia boleh pergi jauh.” Kata Amar dengan senyuman sambil memegang bahu kiri Isa. Isa hanya memandang Amar sahaja. Lampu dewan kecil itu menggunakan sistem janakuasa solar yang telah dikumpulkan sejak pagi tadi telah dipadamkan oleh Isa, begitu juga dengan semua pintu telah dikunci. Isa kembali ke rumah sambil memikirkan tentang Adam. Apabila dia masuk ke bilik Adam, anaknya yang berumur 25 tahun itu sudah pun dibuai mimpi.

   Tapi mimpinya tidak lengkap jika selimut di badannya hanya separuh tertutup. Ayahnya dengan langkah senyap mendekati anaknya dan menutup seluruh badan kecuali bahagian kepala.

   “Ayah bukan tak nak bagi kamu merantau. Ayah takut kamu tak cukup kuat untuk hadapi dunia luar sana.” Katanya sambil mencium dahi Adam. Lalu si bapa pun keluar dari bilik anaknya dengan menutup perlahan pintu bilik.
Keesokan paginya, Adam tidak mengikut ayahnya ke pasar, buat kali pertama. Sebaliknya, Adam pergi berjumpa dengan Saiful dan Khairul di atas rumah pokok yang mereka telah bina bersama-sama sejak zaman kanak-kanak. Adam meluahkan perasaannya kepada dua orang sahabat karib itu sambil menikmati buah-buahan tempatan, pisang, manggis, mangga dan rambutan.

   “Aku nak tengok dunia luar. Aku nak rasa bagaimana hidup luar dari kampung ni.” Kata Adam sambil terbaring melihat dua rakannya menjamu selera.

   “Ayah kau takut, kau jadi macam abang kau nanti. Lapan tahun tak balik. Tak ada dengar khabar pun dari dia. Hilang dalam lubang hitam kot.” Balas Khairul.

   “Aku takkan jadi macam abang aku. Lagipun, aku nak merantau sebab aku ada misi nak dilaksanakan.”

   “Misi apa?” Tanya Saiful sambil membelah buah mangga menjadi dua dengan menggunakan pisaunya.

   “Adalah. Aku tak nak hidup macam katak di bawah tempurung. Kita kena luaskan pandangan, luaskan pengetahuan. Barulah fikiran kita terbuka. Nabi Muhammad pun suka merantau, kalau dia boleh, kenapa tidak kita? Sunnah tu.” Ujar Adam.

   “Keputusan tetap di tangan ayah kau. Kalau kau tak dengar cakap dia. Derhaka berdosa besar.” Balas Khairul.

   “Tau.” Adam, Saiful dan Khairul berbual sampai ke petang. Tetapi mereka berhenti seketika di waktu Zuhur dan Asar. Pukul enam petang, mereka bertiga pun kembali ke rumah masing-masing. Matahari mula merendahkan cahaya siangnya, cahaya malam bulan pula naik untuk menggantikan matahari.

   “Tak apa mak, Adam akan selalu telefon mak dengan ayah.” Lalu ibunya melepaskan genggaman pelukan perlahan-lahan dari anak kesayangannya itu. Seperti melepaskan burung yang telah dijaga sejak kecil, namun terpaksa dilepaskan kerana matang. Adam beralih ke ayahnya pula.

   “Ayah.”

   “Adam.”

   “Ambil ni, gunakan dengan cermat.” Isa memberikan wang poket kepada Adam..

   “Dari mana ayah dapat duit ni?”

   “Ayah ada berniaga juga kat luar.”

   “Terima kasih ayah. Adam akan bawa nama kampung ni dengan silat.”

   “Jaga diri baik-baik kat sana. Cari rezeki halal. Hmm, bila tengok kamu, mengingatkan kepada ayah masa muda.”

   “Heh, bapa borek, anak rintik.” Si ayah juga memeluk si anak pahlawan. Si ayahnya sudah bersedia untuk melepaskan anaknya.

   “Kalau kamu dah buka kelas silat, jangan lupa hantarkan gambar kat kami.” Senyum ayahnya dalam pelukan.

   “Baik ayah.”

   Lalu Adam berjalan, langkah demi langkah jauh dari rumah halamannya. Semakin jauh dia berjalan, semakin kecil pandangan rumah itu, ibu dan ayahnya juga semakin mengecil. Pandangan ke belakang semakin kecil, pandangan ke hadapan pula semakin besar. Pelbagai cabaran menanti anak muda itu. Apabila Adam menunggu di perhentian bas kampung, Pak cik Amar, Khairul dan Saiful datang dengan menaiki basikal untuk berjumpa dengan Adam.

   “ADAM!!!” Saiful menjerit ke arah Adam yang masih lagi sedang menunggu bas. Adam bingkas bangun dengan senyuman melihat mereka bertiga.

   “Pak cik, Sai dan Khai. Kenapa kamu datang nak jumpa aku ni?”

   “Kami datang nak ucapkan semoga berjaya kat luar sana, jangan lupakan kami kat sini.” Kata Saiful sambil mengelap peluh di dahinya.

   “Aku takkan lupakan korang la. Ada masa aku akan balik ke sini.”

   Khairul memberikan Adam beberapa makanan ringan yang di masak sendiri oleh Khairul. “Nah ambil ni, mana tahu kau lapar kat sana nanti.”

   “Terima kasih korang. Korang la sahabat aku dunia dan akhirat.” Adam memeluk mereka berdua. Pak Cik Amar pula mendekati Adam, dia memberikan Adam sesuatu seperti senjata.

   “Ambil karambit ni. Ianya milik ayah Adam, tapi dia suruh pak cik jagakan.”

   “Karambit ayah?”

   “Ya. Ayah kamu banyak buat pertunjukkan silat semasa dia merantau dengan pak cik dulu. Sekarang, giliran kamu pula untuk teruskan legasi dia.”

   “Terima kasih pak cik.” Amar menyerahkan karambit itu kepada Adam.

   “Ingat, kat luar sana kamu akan jumpa macam-macam jenis orang. Kawan jadi lawan, lawan jadi kawan.” Pesan Amar.

   “Saya akan ingat pesanan pak cik.” Bas berhenti di hadapan Adam. Adam menaiki bas tersebut. Dia melambai-lambaikan tangannya ke luar tingkap bas tanda selamat tinggal. Maka, berakhirlah episod Adam di kampung halamannya. Episod Kuala Lumpur baru sahaja bermula bagi Adam. Adam melelapkan mata sementara menunggu destinasinya sampai. Penantian suatu yang menyeksakan.

Ulasan (permainan video) – MAX PAYNE 3

maxpayne3_newswireposter2_640x400

Maximum Pain. Pain to the Max. Kali pertama penulis bermain game ini ialah semasa sirinya yang pertama, Max Payne di Playstation 2. Kemudian sekuelnya, Max Payne 2 : The Fall of Max Payne menyusul selepas yang pertama, penulis juga sempat bermain game kedua tersebut. Game ini membawa kita mendalam watak utamanya, Max Payne, seorang detektif NYPD yang cuba membalas dendam  ke atas kematian  isteri dan bayi kecilnya yang telah dibunuh dengan kejam oleh penjahat yang telah disuntik dengan dadah. Penyiasatannya telah membawa dia membongkar rahsia Aesir Corporation dan organisasi The Inner Circle.

Apa yang membuatkan game Max Payne ini menarik ialah konsep neo-noir, novel grafik dalam setiap cutscenes, mitologi Norse dan yang paling penting sekali Bullet Time. Max Payne banyak mengambil inspirasi dari filem seperti The Matrix dan filem-filem aksi dari Hong Kong arahan John Woo.

Max_Payne_3_screenshot

Selepas beberapa tahun menyepi, Max Payne 3 akhirnya keluar untuk platform PS3, Xbox 360 dan PC. Tetapi kali ini bukan di bawah developer Remedy Entertainmet, tapi di bawah Rockstar Studios kerana Remedy sedang fokus kepada projek lain.

Sembilan tahun sudah berlalu. Max Payne sudah menjangkau usia, sudah tua. Dia bukan lagi detektif NYPD dan dia sekarang tinggal di Hoboken, New Jersey. Dia menghabiskan hidupnya di bar sambil minum minuman keras dan ketagihannya terhadap ubat painkillers. Seperti dia sedang menunggu waktu untuk mati. Sehinggalah, rakan lama semasa di akademi polis dulu, Raul Passos berjumpa dengan Max dan menawarkan kerja sebagai pengawal keselamatan untuk keluarga Branco di Brazil.

2825427-7794461418-maxpa (1)

Max pada mulanya menolak tawaran itu. Namun selepas dia membunuh anak Anthony DeMarco, ketua gangster besar di Hoboken. Kehidupan Max berubah kerana selepas insiden itu, dia sudah “mati” di pekan itu. Max terima tawaran Passos dan diterbangkan ke Brazil. Dari situ bermula kehidupan Max Payne terlibat di dalam konflik antara keluarga Branco, gangster-gangster Sao Paulo, tentera persendirian dan pasukan polis khas Brazil.

Dari segi gameplay adalah satu perubahan besar. Pergerakan Max kali ini lebih dinamik, dia boleh menembak sambil berlari. Dia juga boleh melakukan tembakan 360 darjah dengan memusingkan badan dan tangannya, namum masih lagi boleh mengekalkan sasaran ke arah musuhnya. Penggunaan Bullet Time adalah satu elemen yang penting dalam Max Payne dan anda akan kerap menggunakannya.

1352280946

Bullet Time amat membantu pemain untuk mengelak seberapa banyak peluru yang dilepaskan oleh musuh. Ia juga membantu pemain untuk membidik sasaran dengan lebih tepat dan teratur kerana apabila Bullet Time diaktifkan, persekitaran sekeliling menjadi amat perlahan (slow motion). Shooting dodge kembali lagi dalam sekuel ketiga ini, Shooting dodge berfungsi untuk mengelak pemain dari dikepung oleh musuh dan juga untuk membidik sasaran dengan lebih tepat lagi. Ia dilakukan dengan karakter pemain melompat di atas udara sambil menembak ke arah musuh.

Apabila Max terbaring di atas lantai. Dia masih lagi boleh melakukan tembakan 360 darjah walaupun dari prone position. Pemain juga boleh menggunakan zoom in senjata untuk meningkatkan ketepatan menembak. Melee attack juga boleh dilakukan dengan datang dekat ke arah musuh dan Max akan melakukan tumbukan dan tendangan serta diakhiri dengan tembakan berkali-kali dari jarak yang sangat dekat.

Painkillers kembali untuk memulihkan nyawa pemain. Pemain boleh membawa sebanyak 9 pil painkillers. Apabila pemain berjaya menembak musuh terakhir di kawasan itu, satu Final killcam akan menayangkan peluru yang dilepaskan oleh pemain dan setiap butir peluru mengenai badan individu tersebut ditunjukkan dalam efek Bullet Time. Tiga features baru diperkenalkan dalam Max Payne 3. Pertama ialah Last Stand, feature ini akan berfungsi apabila nyawa pemain sudah hampir mati dan anda masih lagi mempunyai beberapa painkillers, apabila ditembak oleh musuh, pemain perlu mencari individu yang telah menembak pemain tadi untuk memulihkan nyawa semula secara automatik.

RSG_MP3_PC_011

Ciri yang kedua ialah cover system, pemain boleh berlindung di belakang objek dari tembakan musuh. Tapi perlu diingatkan, objek seperti kayu, batu-bata konkrit dan objek yang tidak kukuh senang untuk dimusnahkan dan pemain perlu mencari objek lain untuk berlindung dengan cepat. Pemain juga perlu berlindung di belakang objek yang dapat melindungi seluruh badan pemain kerana dalam game ini satu butir peluru kecil dapat menembusi pemain apabila salah satu anggota badan terdedah.

Ciri yang ketiga ialah auto-aim. Pemain dibenarkan untuk menggunakan auto-aim untuk memudahkan anda membidik sasaran. Ianya sesuai untuk pemain yang masih baru dalam dunia Max Payne.

maxresdefault (3)

Tidak seperti Max Payne yang lepas. Max Payne 3, pemain dibenarkan membawa tiga senjata sahaja, dua senjata one-handed dan satu senjata two-handed. Pemain juga dibenarkan dual wielding senjata seperti Uzi dan pistol, tetapi apabila menggunakan dua senjata secara serentak, senjata besar akan dibuang. Jadi, pemain perlu bijak merancang strategi.

Tips : Adalah lebih baik jika pemain menggunakan senjata satu tangan semasa sedang menembak sambil berjalan kerana pergerakan anda lebih bebas daripada menggunakan senjata dua tangan. Gunakan senjata dua tangan apabila berlindung di belakang objek sahaja.

Tahap kesusahan Max Payne 3 sama seperti game yang terdahulu. Setiap jenis senjata yang digunakan oleh musuh atau pemain akan memberikan impak serangan yang berbeza. Sebagai contoh, shotgun dapat menurunkan nyawa pemain sehingga 50 peratus. Jadi penggunaan cover dan Bullet Time sangat membantu untuk menghadapi serangan tersebut.

Musuh juga berbeza mengikut jenis. Contoh, gangster kecil lebih senang untuk dikalahkan berbanding pasukan khas polis kerana mereka lebih terlaih dan lebih canggih kelengkapan. Tembakan di badan pasukan khas polis akan memberikan kesan yang sedikit kepada mereka. Cara terbaik? Tembak di kepala.

low-screen

Grafik sangat cantik di dalam Max Payne 3. Apabila Bullet Time (perlahan masa) diaktifkan, setiap objek-objek, partikel-partikel dan peluru-peluru yang beterbangan serta efek letupan ditunjukkan sangat details tanpa sebarang cacat cela. Pergerakan A.I musuh juga berbeza serangan taktikal mereka.

Soundtrack  yang dihasilkan oleh Health juga dapat membawa penulis mendalam karakter Max Payne yang sudah tua, tertekan dengan hidupnya dan apabila dia berada di negara asing, sinar harapan bagi Max untuk membetulkan kesilapan lalunya dan mengawal semula dirinya.

max-payne-3-egamer-7

Apa yang penulis boleh simpulkan di sini ialah, Max Payne 3 kali ini lebih terang dari Max Payne dahulu yang lebih gelap. Mungkin kerana setting terletak di Brazil. Max Payne 3 ialah masa kebangkitan untuk dirinya setelah sekian lama menyepi, dia tidak mahu sejarah sama berulang. Dia mahu berbuat sesuatu yang dapat mengembalikan semula kekuatan dirinya. Penulis sedikit tidak suka dengan cutscenes yang panjang dan hanya boleh skip di sesetengah bahagian. Adalah lebih baik jika Rockstar mengekalkan ciri yang sama seperti game pertama iaitu novel grafik untuk cutscenes.

Walaupun ada sesetengah peminat tidak suka dengan perubahan baru game ketiga ini. Namun, ianya ialah satu perbaharuan yang segar untuk Max membuka “buku baru” dalam hidupnya, dia perlukan perubahan. Bagi penulis, perubahan itu adalah baik untuk Max Payne setelah dia mengharungi setiap kegagalan dan kesedihan dalam hidupnya selama ini.

STORYLINE : 5/5

GAMEPLAY : 5/5

MUSIC AND SOUND : 5/5

GRAPHICS : 5/5

OVERALL : 10/10